Skip to main content

Politik

Anwar ‘walkabout’ dekati peniaga kecil di Krubong Jaya dan pasar malam

Sepanjang kira-kira 30 minit berada di lokasi, Anwar meluangkan masa mengunjungi hampir 50 gerai penjaja selain berinteraksi secara langsung dengan kumpulan penduduk setempat. - Astro AWANI
Sepanjang kira-kira 30 minit berada di lokasi, Anwar meluangkan masa mengunjungi hampir 50 gerai penjaja selain berinteraksi secara langsung dengan kumpulan penduduk setempat. - Astro AWANI
Advertisement

PAYA RUMPUT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil peluang bertemu dan menyantuni komuniti peniaga kecil ketika mengadakan kunjungan ke kawasan perniagaan Taman Krubong Jaya, di sini petang ini.

Ketibaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kira-kira jam 6 petang itu turut diiringi Menteri Pendidikan merangkap Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek serta calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin.

Sepanjang kira-kira 30 minit berada di lokasi, Anwar meluangkan masa mengunjungi hampir 50 gerai penjaja selain berinteraksi secara langsung dengan kumpulan penduduk setempat.

Advertisement

Beliau turut dilihat bertanya khabar serta beramah mesra dengan penduduk setempat serta pengusaha gerai, sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk mendekati pemimpin nombor satu negara itu.

Kunjungan berkenaan juga mencuri perhatian pengunjung dan peniaga apabila ramai mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar kenangan bersama Perdana Menteri.

Advertisement

Anwar yang juga Pengerusi PH meninggalkan kawasan itu kira-kira jam 6.30 petang sebelum meneruskan jadual lawatan ke pasar malam di Kampung Baru Machap, Alor Gajah.

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya pula, Presiden PKR itu disambut meriah dengan laungan “reformasi” oleh para penyokong dan pengunjung di pasar malam Kampung Baru Machap.

Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit, dengan pengunjung mengambil peluang berswafoto dan mendapatkan autograf pemimpin negara itu.

Dalam pada itu, Anwar turut menyampaikan ucapan ringkas dengan menyeru pengundi memberikan mandat kepada calon PH DUN Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin.

“Kita mahu bawa perubahan, dan saya minta semua tak kira Melayu, India dan Cina untuk bersatu membawa sokongan kepada PH,” katanya.

DUN Machap Jaya menyaksikan saingan tiga penjuru antara Siew Lin (PH); Prasanth Kumar Brakasam (BERSAMA); serta Datuk Ngwe Hee Sem daripada Barisan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
 

Must Watch Video

Advertisement