Skip to main content

Malaysia

PM Anwar pengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Selangor

Empat tindakan utama ditekankan termasuk pengukuhan sistem amaran awal, penyelarasan pengurusan bencana, penyelesaian banjir kilat, dan penelitian amalan terbaik pengurusan banjir. - Foto FB Anwar Ibrahim
Empat tindakan utama ditekankan termasuk pengukuhan sistem amaran awal, penyelarasan pengurusan bencana, penyelesaian banjir kilat, dan penelitian amalan terbaik pengurusan banjir. - Foto FB Anwar Ibrahim

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor di Parlimen bagi menangani banjir berulang.
  • Empat tindakan utama ditekankan termasuk pengukuhan sistem amaran awal, penyelarasan pengurusan bencana, penyelesaian banjir kilat, dan penelitian amalan terbaik pengurusan banjir.
  • Bantuan Khas Bencana Banjir Rakyat Selangor sebanyak RM3,000 disalurkan kepada setiap ketua isi rumah yang layak, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Advertisement

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor di Bangunan Parlimen dalam usaha menangani masalah banjir berulang di negeri itu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata mesyuarat khas itu memberikan penekanan pada empat tindakan utama merangkumi pengukuhan sistem amaran awal bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan peningkatan penyelarasan pengurusan bencana oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Dua lagi tindakan utama melibatkan penyelesaian masalah banjir kilat menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta penelitian amalan terbaik pengurusan banjir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Advertisement

“Perhatian khusus diberikan kepada kawasan yang sering dilanda banjir, terutama di daerah Petaling dan Kuala Selangor yang merekodkan 1,180 mangsa di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 Nov 2026.

“Saya mahu setiap tindakan ini dilaksanakan dengan segera, termasuk mempercepat usaha tebatan banjir dan penambahbaikan sistem saliran bagi mengurangkan risiko banjir berulang,” katanya dalam hantaran media sosial.

Advertisement

Amirudin berkata mesyuarat itu turut disertai wakil kerajaan negeri, anggota EXCO, Ahli Dewan Negeri, pegawai daerah dan agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor.

Dalam pada itu, beliau berkata kebajikan mangsa banjir terus menjadi keutamaan termasuk penyaluran Bantuan Khas Bencana Banjir Rakyat Selangor sebanyak RM3,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang layak, tertakluk pada syarat ditetapkan.

“Saya memahami keresahan rakyat, khususnya mereka yang berulang kali berdepan musibah banjir. Justeru, saya mahu setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan nyata serta-merta, bukan sekadar perbincangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement