Bursa Malaysia dibuka tinggi walaupun diasak sentimen berhati-hati

Thong berkata, secara keseluruhannya, pasaran tempatan dijangka berlegar dalam julat 1,610 hingga 1,620 hari ini menjelang cuti hujung minggu yang panjang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan Jumaat dengan lebih tinggi, didorong oleh minat belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun terdapat sentimen berhati-hati susulan prestasi semalaman Wall Street yang suram.
Pada jam 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.82 mata kepada 1,614.11 daripada 1,612.29 pada penutup semalam, selepas dibuka menokok 1.40 mata pada 1,613.69.
Pasaran meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 239 berbanding 129 manakala 311 kaunter tidak berubah, 2,003 kaunter tidak diniagakan dan 18 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 172.58 juta saham bernilai RM107.37 juta.Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI masih kekal mendapat sokongan kukuh.
"Indeks penanda aras itu ditutup lebih tinggi semalam walaupun diasak tekanan jualan berterusan daripada pelabur asing. Secara keseluruhannya, pasaran tempatan dijangka berlegar dalam julat 1,610 hingga 1,620 hari ini menjelang cuti hujung minggu yang panjang," katanya kepada Bernama.
Thong berkata pasaran Wall Street ditutup lebih rendah secara menyeluruh semalam berikutan kebimbangan baharu terhadap bank-bank serantau serta kemungkinan peningkatan pinjaman tidak berbayar (NPL) yang hanya memberi isyarat cabaran yang mungkin dihadapi oleh sektor perbankan.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM9.93, Tenaga Nasional menokok empat sen to RM13.22, IHH Healthcare meraih tujuh sen kepada RM8.11, Public Bank rugi satu sen kepada RM4.21 manakala CIMB Group kekal tidak berubah pada RM7.34.
Bagi saham aktif, Salutica meningkat lima sen kepada 25.5 sen, LP Global menokok dua sen kepada 15.5 sen, Propel Global meraih 1.5 sen kepada sembilan sen, Niche Capital Emas menambah satu sen kepada 15 sen namun Dagang Nexchange kekal pada 28 sen.
Kaunter paling untung adalah Nestle yang melonjak 90 sen kepada RM105.60, Tomei Consolidated menokok 14 sen kepada RM2.12, Gas Malaysia dan PGF Capital masing-masing naik sembilan sen kepada RM4.60 dan RM1.84 manakala Sunway Construction untung enam sen kepada RM6.05.
Dalam kelompok kaunter paling rugi, Petronas Gas susut 20 sen kepada RM18.80, Malaysian Pacific Industries turun 14 sen kepada RM29.46, Frontken berkurangan 10 sen kepada RM4.68, MI Technovation dan Genting Bhd masing-masing menguncup enam sen kepada RM2.89 dan RM3.41.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBMT 100 naik 2.19 mata kepada 11,806.02, Indeks FBM Emas Syariah meraih 0.39 mata kepada 12,162.19 dan Indeks FBM ACE menambah 4.28 mata kepada 5,380.04.
Indeks FBM Emas sebaliknya susut 1.33 mata kepada 12,080.72 manakala Indeks FBM 70 merosot 45.19 mata kepada 17,158.36.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 4.03 mata kepada 18,226.44, Indeks Perladangan meraih 11.26 mata kepada 7,872.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.02 mata kepada 173.61 manakala Indeks Tenaga turun 2.52 mata kepada 793.04.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami