Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia dijangka tinggi minggu depan, pelabur alih pelaburan tumpu sektor defensif

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia ditutup rendah kebanyakannya berikutan aktiviti pengambilan untung apabila pelabur kekal berhati-hati ekoran ketiadaan pemangkin positif. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka mencatatkan prestasi dagangan yang tinggi minggu depan apabila pelabur terus mengalihkan pelaburan daripada saham teknologi pertumbuhan tinggi kepada saham mewah dan sektor defensif berikutan persekitaran pasaran global yang lebih waspada.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pelabur dijangka mengimbangi semula portfolio masing-masing susulan prestasi cemerlang saham teknologi sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Beliau berkata pelabur mungkin menumpukan kepada sektor kewangan, penjagaan kesihatan, berkaitan pengguna serta saham lain yang bersifat defensif yang menawarkan keuntungan lebih berdaya tahan dan hasil dividen yang menarik.

"Penurunan FBM KLCI di bawah paras 1,680 minggu ini juga dijangka menarik aktiviti pembelian ketika harga murah, khususnya dalam saham mewah yang mempunyai asas kukuh dan kini dinilai lebih menarik selepas penyusutan baru-baru ini," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata penyederhanaan penguasaan sektor teknologi juga berpotensi memberikan manfaat kepada pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, apabila pelabur meluaskan pendedahan mereka melangkaui sektor teknologi bermodal amat besar Amerika Syarikat.

"Kami juga melihat potensi untuk pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih ekuiti Malaysia.

“Ini disokong oleh penilaian terhadap FBM KLCI yang menarik berbanding pasaran serantau, asas ekonomi domestik yang berdaya saing, prospek peningkatan leuntungan korporat serta minat baharu terhadap syarikat bersifat defensif dan saham mewah berkualiti tinggi," katanya.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia ditutup rendah kebanyakannya berikutan aktiviti pengambilan untung apabila pelabur kekal berhati-hati ekoran ketiadaan pemangkin positif.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks utama susut 44.29 mata kepada 1,667.74 daripada 1,712.03 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 316.03 mata kepada 12,654.02, Indeks FBMT 100 turun 318.03 mata kepada 12,201.59, manakala Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 317.36 mata kepada 12,241.30.

Indeks FBM Mid 70 merosot 436.39 mata kepada 17,726.19 dan Indeks FBM ACE menguncup 47.22 mata kepada 4,745.30.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 9.76 mata kepada 8,882.98, Indeks Tenaga turun 20.37 mata kepada 745.90, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 541.46 mata kepada 19,663.12 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 10.98 mata kepada 179.59.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 15.54 bilion unit bernilai RM13.11 bilion daripada 16.92 bilion unit bernilai RM14.62 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 7.78 bilion unit bernilai RM11.58 bilion daripada 9.73 bilion unit bernilai RM13.06 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 5.15 bilion unit bernilai RM628.56 juta daripada 4.18 bilion unit bernilai RM538.65 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula berkurangan kepada 2.59 bilion unit bernilai RM899.90 juta daripada 2.99 bilion unit bernilai RM1.01 bilion.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement