KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperkenalkan kawal selia berasaskan risiko terhadap pencipta kandungan yang memberikan nasihat profesional di media sosial, khususnya dalam bidang kesihatan dan kewangan, bagi melindungi pengguna tanpa menjejaskan kebebasan bersuara serta kreativiti ekonomi digital.
Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) Azlin Othman berkata keperluan memiliki kelayakan profesional perlu difokuskan kepada bidang yang berpotensi membawa mudarat langsung terhadap nyawa dan kewangan pengguna seperti perubatan, farmaseutikal serta pelaburan berlesen, berbanding kandungan umum berkaitan gaya hidup, fesyen dan hiburan.
Beliau berkata bagaimanapun pendekatan kawal selia yang terlalu ketat boleh menyekat kebebasan bersuara dan menjejaskan perkembangan pencipta kandungan berskala kecil, justeru, peraturan perlu mengambil kira tahap risiko serta kesan sesuatu kandungan terhadap pengguna.
"Kerajaan juga perlu mengamalkan konsep kawal selia bersama, dengan melibatkan persatuan pempengaruh, platform digital serta badan profesional seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) agar garis panduan yang dirangka bersifat telus dan adil," katanya kepada Bernama.
Azlin berkata pengasas atau pemilik produk wajar menanggung liabiliti utama sekiranya pengguna mengalami kerugian atau masalah kesihatan akibat mempercayai promosi produk yang dibuat pempengaruh tidak berkelayakan, terutama bagi produk tidak berdaftar atau berunsur penipuan.
Bagaimanapun, katanya, pempengaruh juga perlu bertanggungjawab sekiranya sengaja membuat ulasan palsu, mempromosikan produk terlarang tanpa usul periksa atau menyamar sebagai profesional kesihatan dan kewangan.
Beliau berkata platform digital seperti Meta dan TikTok pula perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan serta badan pengesahan profesional seperti Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan SC bagi mengesahkan kelayakan pencipta kandungan yang menawarkan khidmat atau nasihat khusus.
Menurutnya, kewajipan memaparkan nombor pendaftaran atau sijil profesional yang sah boleh membantu mengurangkan risiko penipuan, namun langkah itu perlu disertai pendidikan literasi kewangan dan digital kerana pengguna masih terdedah kepada akaun samaran serta penyalahgunaan sijil individu lain.
Sementara itu, Ketua Komunikasi dan Pengembangan Ilmu Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Wan Hartini Wan Zainodin berkata garis pemisah yang jelas perlu diwujudkan antara perkongsian pengalaman peribadi dengan pemberian nasihat profesional, terutama apabila kandungan mempunyai unsur promosi komersial.
Beliau berkata perkongsian pengalaman menggunakan sesuatu produk tidak semestinya dianggap sebagai nasihat profesional, namun kandungan menggalakkan pembelian, menyertakan pautan jualan atau mendakwa sesuatu produk mampu menyembuhkan penyakit sudah menjurus kepada promosi komersial yang memerlukan kawalan sewajarnya.
Menurutnya, hubungan parasosial yang terbentuk melalui pendedahan berulang terhadap kandungan seseorang pempengaruh turut menyebabkan pengikut menganggap individu itu sebagai sumber maklumat rapat dan boleh dipercayai, sekali gus meningkatkan risiko mereka menerima dakwaan tanpa menyemak kesahihannya.
"Apabila seseorang pempengaruh menyampaikan maklumat dengan penuh keyakinan serta menggunakan istilah saintifik atau kewangan yang kelihatan meyakinkan, pengikut cenderung menganggap individu itu sebagai pakar, walaupun sebenarnya tidak mempunyai kelayakan dalam bidang berkenaan," katanya.
Wan Hartini berkata pendidikan literasi digital perlu diperluas melalui institusi pengajian tinggi, badan profesional dan industri media, termasuk menerusi kursus pendek, pensijilan mikro serta bengkel semakan fakta dan literasi undang-undang bagi membantu pencipta kandungan menyampaikan maklumat secara bertanggungjawab.
Beliau berkata syarat kelayakan profesional yang terlalu ketat juga berisiko meminggirkan pencipta kandungan bebas atau individu berpengalaman tanpa pendidikan formal, sekali gus mengehadkan kepelbagaian suara di media sosial dan membantutkan pertumbuhan ekonomi digital, khususnya dalam kalangan golongan muda.
-- BERNAMA