Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: 517 borang pencalonan terjual setakat semalam

Sebanyak 517 borang penamaan calon PRN Sarawak ke-13 telah terjual setakat semalam, menjelang penamaan calon pada 28 November ini. -Gambar fail/Bernama
Sebanyak 517 borang penamaan calon PRN Sarawak ke-13 telah terjual setakat semalam, menjelang penamaan calon pada 28 November ini. -Gambar fail/Bernama

Ringkasan AI

  • Sebanyak 517 borang penamaan calon PRN Sarawak ke-13 telah terjual setakat semalam, menjelang penamaan calon pada 28 November ini.
  • Daripada jumlah itu, 390 borang dijual di kaunter Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, manakala 127 borang melalui pejabat Pegawai Pengurus DUN.
  • SPR menetapkan pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember, melibatkan 82 kerusi DUN dipertandingkan.
Advertisement

KUCHING: Berbaki 10 hari lagi sebelum penamaan calon pada 28 Nov ini, bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 semakin dirasai apabila sebanyak 517 borang telah terjual setakat semalam.

Pengarah PRN Sarawak Abang Noraffian Abang Ibrahim berkata penjualan borang berkenaan yang bermula sejak 6 Nov lepas turut menyaksikan sebanyak 390 borang telah dijual secara langsung di kaunter Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, baki 127 borang lagi telah dijual menerusi pejabat Pegawai-Pegawai Pengurus di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. 

Advertisement

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa mereka yang ingin bertanding dalam PRN Sarawak digalakkan membayar deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

SPR turut mengingatkan bahawa borang berkenaan, yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus, hendaklah dikemukakan oleh calon, penyokong atau pencadang pada 28 Nov ini di pusat penamaan calon.

Advertisement

SPR menetapkan pengundian awal pada 8 Dis manakala hari mengundi pada 12 Dis bagi PRN Sarawak kali ini, yang menyaksikan sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan.

Pada 23 Okt lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Okt untuk memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-13.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement