Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup mendatar susulan kebimbangan terhadap hasil bon AS, ketegangan Asia Barat

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 0.69 mata atau 0.04 peratus kepada 1,671.62 berbanding 1,672.31 semasa ditutup pada Khamis. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup mendatar pada Jumaat di tengah-tengah kebimbangan mengenai peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.69 mata atau 0.04 peratus kepada 1,671.62 berbanding 1,672.31 semasa ditutup pada Khamis. Indeks petunjuk pasaran itu, yang dibuka menokok 2.56 mata kepada 1,674.87 bergerak antara 1,666.99 dan 1,675.47 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran hampir seimbang, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 590 berbanding 575 manakala 534 kaunter tidak berubah, 1,224 kaunter tidak diniagakan dan 43 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menokok kepada 4.07 bilion unit bernilai RM2.69 bilion daripada 3.32 bilion unit bernilai RM2.74 bilion pada Khamis.

Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata pelabur terus berwaspada berikutan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, hasil bon AS yang meningkat serta jangkaan tekanan inflasi yang terus mengehadkan kenaikan pasaran dalam masa terdekat.

“Pelabur juga perlu memantau data Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang akan dikeluarkan pada Isnin, terutama petunjuk mengenai tekanan kos yang berterusan susulan peningkatan mendadak harga pengeluar pada awal tahun ini, yang boleh mempengaruhi jangkaan inflasi serta prospek dasar monetari domestik,” katanya kepada Bernama.

Pada masa hadapan, Leong berkata pelabur juga akan memantau rapi angka akhir Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi suku kedua 2026 serta data pengangguran terkini negara itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 10 sen kepada RM10.22, Public Bank susut dua sen kepada RM4.80 dan CIMB turun enam sen kepada RM7.90. Tenaga Nasional naik lapan sen kepada RM13.14 manakala IHH Healthcare rendah tiga sen kepada RM8.03.

 Kaunter paling aktif diterajui Aimax dengan menyusut setengah sen kepada 0.5 sen manakala Zetrix AI kekal tidak berubah pada 19 sen, dan Velesto turun satu sen kepada 22 sen. Top Glove rendah 2.5 sen kepada 75.5 sen dan Cypark Resources naik lima sen kepada 82 sen.

Malaysian Pacific Industries mendahului senarai kaunter paling untung dengan kenaikan 68 sen kepada RM44.18 manakala Batu Kawan meningkat 50 sen kepada RM20.50 dan UWC melonjak 37 sen kepada RM6.88. Hong Leong Industries naik 30 sen kepada RM16.96, dan Southern Cable meningkat 29 sen kepada RM2.88.

Kaunter paling rugi menyaksikan Nestle susut RM1.26 kepada RM90.20, United Plantations turun 52 sen kepada RM32.58, dan Petronas Dagangan rendah 50 sen kepada RM19.50. Dutch Lady turun 36 sen kepada RM30 manakala Sarawak Oil Palms susut 25 sen kepada RM5.73.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Mid 70 meningkat 90.10 mata kepada 17,844.91, Indeks FBM Emas menambah 15.37 mata kepada 12,456.64 dan Indeks FBM Top 100 naik 12.21 mata kepada 12,243.46.

Indeks FBM Emas Shariah menambah 14.51 mata kepada 12,306.23 dan Indeks FBM ACE meningkat 95.53 mata kepada 5,532.86.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.24 mata kepada 184.10, Indeks Perladangan rendah 56.41 mata kepada 9,334.87 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 4.37 mata kepada 19,550.49.

Indeks Tenaga meningkat 1.40 mata kepada 861.83.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik kepada 2.53 bilion unit bernilai RM2.24 bilion daripada 2.09 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 999.87 juta unit bernilai RM180.99 juta daripada 764.97 juta unit bernilai RM115.91 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 539.02 juta unit bernilai RM264.01 juta daripada 463.98 juta unit bernilai RM210.23 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 282.39 juta saham di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (282.04 juta), pembinaan (143.52 juta), teknologi (1.17 bilion), perkhidmatan kewangan (42.40 juta), hartanah (135.74 juta), perladangan (38.40 juta), amanah pelaburan hartanah (16.49 juta), dana tertutup (26,600), tenaga (188.93 juta), penjagaan kesihatan (101.20 juta), telekomunikasi dan media (28.30 juta), pengangkutan dan logistik (48.07 juta), utiliti (57.44 juta) serta amanah perniagaan (59,600).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement