KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu dalam persekitaran dagangan kurang menggalakkan dalam kebanyakan sesi.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 3.64 mata kepada 1,445.82 daripada 1,449.46 pada Selasa.

Indeks dibuka tinggi 1.45 mata kepada 1,450.91 dan kemudian bergerak antara 1,444.63 dan 1,452.07 sepanjang hari.

Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 452 berbanding 365 manakala 471 kaunter tidak berubah, 1,026 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.80 bilion unit bernilai RM1.81 bilion daripada 3.54 bilion unit bernilai RM2 bilion pada Selasa.

Seorang peniaga berkata jualan pada sesi sebelumnya dan keyakinan mengenai prospek AS untuk pengurangan kadar faedah membantu meningkatkan minat terhadap saham pada awal hari ini.

Bagaimanapun, pasaran gagal mengekalkan momentum yang menggalakkan apabila sebahagian pelabur mengambil keuntungan.

"Sebahagian peniaga tidak memasuki pasaran berikutan bimbang mengenai langkah Moody's untuk menurunkan prospek kredit rakan dagang terbesar Malaysia disebabkan risiko hutang yang meningkat," katanya kepada Bernama.

Dilaporkan Moody's Investors Service telah menurunkan penarafan kredit kerajaan China kepada negatif daripada stabil, merujuk impak terhadap pertumbuhan ekonomi kedua terbesar dunia itu berikutan ia menggunakan rangsangan fiskal untuk membendung krisis hutang dalam kalangan pemaju hartanah negara itu.

Dalam negara, saham wajaran tinggi Maybank berkurangan satu sen kepada RM9.00 manakala Public Bank dan CIMB, masing-masing tidak berubah pada RM4.25 dan RM5.75 serta Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM9.99.

Petronas Chemicals dan IHH, masing-masing berkurangan empat sen kepada RM7.03 dan RM5.80.

Bagi kaunter paling aktif, Velesto merosot 1.5 sen kepada 20.5 sen, Wdad dan Bina Puri, masing-masing meningkat setengah sen kepada 47 sen dan 7.0 sen manakala Sarawak Consolidated dan Reneuco, masing-masing naik 1.5 sen kepada 79.5 sen dan 23 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 27.07 mata kepada 10,655.30, Indeks FBMT 100 berkurangan 28.62 mata kepada 10,324.44, Indeks FBM Emas Shariah susut 40.67 mata kepada 10,796.00 dan Indeks FBM 70 jatuh 50.33 mata kepada 13,974.94.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE naik 62.89 mata kepada 5,141.70.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 28.08 mata kepada 16,312.21, Indeks Perladangan susut 12.17 mata kepada 6,976.73, Indeks Tenaga berkurangan 7.22 mata kepada 802.00 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.10 mata kepada 169.93.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.63 bilion unit bernilai RM1.55 bilion daripada 2.06 bilion unit bernilai RM1.70 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 588.31 juta unit bernilai RM58.95 juta daripada 678.24 juta unit bernilai RM69.44 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 575.34 juta saham bernilai RM195.42 juta daripada 799.46 juta saham bernilai RM232.45 juta semalam.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 257.06 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (322.80 juta); pembinaan (156.82 juta); teknologi (156.72 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (54.40 juta); hartanah (153.66 juta); perladangan (29.97 juta); REIT (9.41 juta), dana tertutup (1,000); tenaga (229.26 juta); penjagaan kesihatan (106.11 juta); telekomunikasi dan media (34.53 juta); pengangkutan dan logistik (32.61 juta) dan utiliti (82.81 juta).

-- BERNAMA