Skip to main content

Dunia

Anwar gesa PBB berani laksana pembaharuan, mansuh kuasa veto

Perdana Menteri Anwar (dua dari kiri) bersama-sama pemimpin-pemimpin ASEAN
FB Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-16 di Manila, Filipina pada Isnin. Turut kelihatan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres (enam dari kiri). - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar (dua dari kiri) bersama-sama pemimpin-pemimpin ASEAN FB Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-16 di Manila, Filipina pada Isnin. Turut kelihatan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres (enam dari kiri). - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan pembaharuan yang lebih berani, termasuk memansuhkan kuasa veto yang sekian lama menghalang Majlis Keselamatan badan dunia itu daripada bertindak secara adil dan berkesan.

Menegaskan perkara itu pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-16 di Manila, Filipina, Anwar berkata, struktur semasa Majlis Keselamatan PBB memerlukan rombakan menyeluruh bagi memastikan PBB kekal relevan serta mampu menangani krisis kemanusiaan dan konflik global tanpa dibelenggu kepentingan kuasa besar.

Anwar berkata, beliau turut menggariskan keperluan menterjemahkan Pelan Tindakan ASEAN-PBB 2026–2030 kepada hasil yang nyata, khususnya dalam peralihan hijau dan digital, daya tahan iklim serta pembangunan mampan.

Advertisement

“ASEAN juga mesti terus mempertahankan prinsip Kepusatan ASEAN serta keluhuran undang-undang antarabangsa dalam mendepani persaingan geopolitik yang semakin mencabar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar ketika menyentuh mengenai situasi di Asia Barat menegaskan, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kekejaman berterusan pemindahan paksa dan kebuluran yang menimpa rakyat Palestin. 

Advertisement

“Kita menuntut gencatan senjata segera dan berkekalan, penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan, perlindungan terhadap petugas kemanusiaan serta keanggotaan penuh Palestin dalam PBB,” katanya.

Sementara itu, sewaktu berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia, Perdana Menteri menekankan keperluan memperkukuh sistem multilateralisme, menghormati perundangan antarabangsa serta meningkatkan kerjasama dalam menangani ancaman keselamatan siber dan risiko kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, beliau berkata, Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia yang memasuki tahun kelima menjadi landasan penting untuk membawa hubungan itu ke tahap lebih tinggi, dengan kerjasama yang lebih konkrit, seimbang dan berpaksikan kepentingan bersama.

“Malaysia melihat ruang yang luas untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, keselamatan tenaga, peralihan iklim serta transformasi digital,” katanya.

Beliau berkata, usaha membangunkan rantaian bekalan dan nilai serantau yang lebih berdaya tahan, khususnya dalam sektor mineral kritikal, juga perlu diberi keutamaan melalui pemindahan teknologi, pelaburan dan pembangunan kepakaran agar manfaat kemakmuran dapat dikongsi secara lebih saksama.

“Malaysia turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik di Asia Barat yang semakin meruncing, termasuk serangan ke atas Arab Saudi serta menggesa agar usaha diplomatik dipergiat bagi meredakan ketegangan dan menangani punca sebenar konflik,” katanya.

Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dari 15 hingga 17 Nov di bawah kepengerusian Filipina, bertemakan Navigating Our Future, Together.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement