Skip to main content

Malaysia

Pan Borneo: Kerajaan berisiko disaman jika sewenang-wenangnya tamatkan kontraktor - Nanta

Kerajaan berisiko berdepan tindakan undang-undang dan tuntutan ganti rugi sekiranya menamatkan kontrak kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah secara sewenang-wenangnya tanpa mematuhi prosedur serta peruntukan undang-undang, kata Alexander Nanta Linggi.
Kerajaan berisiko berdepan tindakan undang-undang dan tuntutan ganti rugi sekiranya menamatkan kontrak kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah secara sewenang-wenangnya tanpa mematuhi prosedur serta peruntukan undang-undang, kata Alexander Nanta Linggi.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan berisiko berdepan tindakan undang-undang dan tuntutan ganti rugi sekiranya menamatkan kontrak kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah secara sewenang-wenangnya tanpa mematuhi prosedur serta peruntukan undang-undang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penamatan kontrak bukan tindakan yang boleh dilaksanakan dengan mudah kerana kontraktor turut mempunyai hak perundangan, termasuk memohon Lanjutan Masa (EOT) sekiranya kelewatan projek berpunca daripada faktor di luar kawalan mereka seperti  kelewatan penyerahan tapak pembinaan akibat urusan pembayaran pampasan pengambilan tanah oleh  kerajaan yang belum diselesaikan

"Sekiranya Jabatan Tanah dan Ukur (negeri) tidak menyelesaikan pembayaran (pampasan pengambilan) tanah, kontraktor tidak boleh masuk ke tapak kerana pemilik tanah tidak membenarkan mereka berbuat demikian. Memang mereka layak menuntut hak lanjutan tempoh.

Advertisement

"Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan (kontrak). Jika kita tidak mengikut tatakelola atau undang-undang yang betul, mereka boleh bawa kita ke mahkamah. Mereka akan tuntut kerugian dan kerajaan terpaksa bayar balik," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Memperkasakan Infrastruktur Negara Ke Arah Pembangunan Mampan" pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai isu pengambilan tanah bagi pembinaan lebuh raya itu, Nanta mengakui, proses berkenaan turut berdepan kelewatan akibat campur tangan politik di peringkat tempatan.

Advertisement

"Bila nak buat arahan (pengambilan tanah), kadang-kadang politik masuk campur, itu kita kena akui. Ada pemimpin politik tempatan merayu-merayu menyebabkan proses dari tunggu-menunggu jadilah lambat. Ini belum lagi masuk isu kos dan kerumitan kerja pengalihan kemudahan utiliti seperti kabel dan paip air," katanya.

Mengenai Projek LPB Sabah Fasa 1 yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)  2026 yang memaparkan peratusan kemajuan projek pada tahap yang rendah, Nanta menjelaskan, angka tersebut terjadi kerana laporan itu menggabungkan nilai keseluruhan 35 pakej kerja dari Fasa 1A dan Fasa 1B.

Beliau berkata, Fasa 1B yang melibatkan 19 pakej kerja hanya memulakan pelaksanaan pada September 2024, namun kini merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 26 peratus dan kemajuan kewangan 23 peratus.

"Fasa 1A (15 pakej) pula telah lama dimulakan dan saya akui memang ada kelemahan teruk, namun hakikatnya kemajuan fizikal kini telah menjangkau 90 peratus dengan empat pakej telah siap 100 peratus. Pakej yang banyak tertinggal adalah Pakej 1 dan Pakej 2 yang terletak berhampiran sempadan dengan Sarawak.

"Jika kita longgokkan kesemua 35 pakej ini sekali gus dalam satu data, sudah tentu peratusannya akan direndahkan oleh pakej-pakej yang bermasalah dalam Fasa 1A," katanya.

Nanta berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima teguran LKAN secara terbuka dan tidak bersikap defensif, malah telah melaksanakan penyusunan semula penempatan pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran projek di lapangan.

Beliau berkata, KKR menyasarkan keseluruhan projek LPB diselesaikan menjelang 2030 menerusi empat teras tindakan susulan, iaitu Completion Recovery Plan (pelan pemulihan kemajuan kontraktor), Land Readiness (status kesiapsiagaan lot tanah), Cost Control (kawalan kos) bagi Fasa 1B dan Audit Compliance Tracker bagi memastikan 13 penemuan LKAN diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan.

Selain itu, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu yang turut dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mempercepat penyelarasan antara agensi berkaitan tanah dan utiliti di Sabah.

Dalam perkembangan lain, Nanta berkata, projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) bakal menyaksikan pembinaan terowong pertama di Borneo yang dijangka melebihi dua kilometer panjang.

Beliau berkata, laluan itu akan menghubungkan kawasan utara Sarawak dengan Sabah menerusi Lawas tanpa perlu melalui Brunei, sekali gus memudahkan perjalanan tanpa perlu menanggung caj lintasan atau melalui urusan pasport dan pemeriksaan imigresen.

“SSLR dibina mengikut spesifikasi reka bentuk jalan luar bandar berstandard R3, lebih rendah berbanding standard R5 bagi LPB, namun tetap signifikan dalam meningkatkan hubungan perhubungan ke kawasan pedalaman kedua-dua negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement