SAN FRANCISCO: Lembaga pengarah Nvidia tidak mempertimbangkan untuk membawa kembali Jensen Huang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), menurut tiga sumber yang mengetahui perkara itu, walaupun kempen menggesa kepulangannya semakin mendapat sokongan hanya beberapa hari selepas beliau meletakkan jawatan susulan dakwaan melibatkan hubungan dengan pekerja serta kaitan yang disyaki dengan perisikan China.
Lebih 180,200 individu menandatangani petisyen yang menuntut Huang dikembalikan ke jawatan tersebut, manakala Elon Musk turut menyatakan sokongan terhadap usaha itu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut berkata, beliau tidak keberatan melihat Huang dilantik semula sebagai CEO.
Ribuan individu yang mengaku sebagai pekerja semasa Nvidia turut menyertai kempen berkenaan.
Namun, pakar tadbir urus korporat dan sebahagian pelabur memberi amaran bahawa pelantikan semula beliau sebelum siasatan selesai boleh mendedahkan syarikat itu kepada risiko baharu.
Gelombang sokongan terhadap pengasas syarikat itu menjadikan isu peralihan kepimpinan korporat sebagai ujian besar buat Nvidia dalam usaha memisahkan identitinya daripada seorang tokoh yang pengaruhnya melangkaui pekerja, pemegang saham, komuniti teknologi Silicon Valley, rantaian bekalan Taiwan dan Washington.
Di Taiwan, bangunan pencakar langit ikonik Taipei 101 disinari paparan mesej termasuk "Taiwan Loves Jensen" pada Isnin sebagai tanda sokongan kepada bekas CEO itu.
Beberapa pemegang saham berprofil tinggi turut menggesa syarikat tidak tergesa-gesa melantik pengganti sebelum semua fakta diketahui.
Seorang sumber yang mengetahui perkara itu bagaimanapun berkata, lembaga pengarah syarikat "tidak mempertimbangkan untuk membawa Jensen kembali."
Sokongan terhadap Huang muncul ketika agensi perisikan AS masih menyiasat sejauh mana hubungan Alice Huang dengan Kementerian Keselamatan Negara China serta sama ada maklumat telah disalurkan kepada Beijing.
Menurut dua sumber, bukti yang dikumpulkan setakat ini menunjukkan beliau berkemungkinan bertindak sebagai aset perisikan yang berkongsi maklumat, bukannya ejen perisik terlatih sepenuhnya.
Ketidakpastian itu telah memecah-belahkan pandangan pelabur berhubung masa depan Huang dan merumitkan usaha lembaga pengarah mencari pengganti.
Saham Nvidia merosot 3.7 peratus pada Isnin, sehari sebelum syarikat pengeluar cip itu dijadual mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga.
Wall Street berbelah bahagi
Kempen "Stand With Jensen" menyenaraikan Elon Musk, Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla, bersama beberapa tokoh industri teknologi lain sebagai antara penyokongnya.
Laman web kempen itu menunjukkan lebih 8,800 penandatangan mengenal pasti diri mereka sebagai pekerja semasa Nvidia, manakala lebih 94,000 lagi mendakwa sebagai pemegang saham syarikat.
Namun, laman berkenaan turut memaklumkan bahawa maklumat afiliasi profesional itu dilaporkan sendiri dan tidak disahkan secara bebas.
Dalam surat terbuka yang diterbitkan di laman itu, kumpulan berkenaan menyatakan mereka terdiri daripada pekerja semasa dan bekas pekerja, rakan kongsi, pemegang saham serta penyokong yang menghargai sumbangan Huang, sambil mendesak lembaga pengarah mengembalikan beliau ke jawatan CEO sementara siasatan bebas dijalankan.
Huang meletakkan jawatan pada Khamis lalu selepas laporan mengenai dakwaan hubungan dengan pekerja, termasuk seorang yang melapor secara langsung kepadanya, sekali gus mencetuskan krisis dalam syarikat yang menjadi peneraju global dalam teknologi cip kecerdasan buatan (AI).
"Saya fikir beliau telah mempelajari satu pengajaran besar," kata Trump pada Isnin.
Menurut laporan media AS, rekod kewangan menunjukkan beliau memiliki saham Nvidia bernilai antara AS$13 juta hingga AS$62 juta setakat akhir Ogos.
Bagaimanapun, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent menyeru agar Nvidia melantik individu luar sebagai CEO baharu, dengan menyatakan syarikat itu memerlukan "rombakan besar" selepas pemergian Huang.
Penyelidik teknologi bebas, Richard Windsor pula menjangkakan pelabur institusi utama akan menentang kepulangan Huang selagi siasatan belum selesai kerana risiko perundangan dan ketidakpastian yang mungkin tercetus.
Namun, beliau berpandangan, pemegang saham akhirnya akan mendapat manfaat sekiranya Huang kembali menerajui syarikat tersebut, memandangkan hubungan kukuh yang dibinanya dengan pelanggan dan pembekal utama, khususnya TSMC, pengeluar cip paling canggih milik Nvidia.
Pemergian Huang gegarkan Taiwan
Pengaruh luar biasa Huang paling ketara di Taiwan, tempat kelahirannya dan lokasi penting dalam rangkaian pengeluaran Nvidia melalui kerjasama erat dengan TSMC serta rangkaian pembekal yang luas.
Dilahirkan di bandar raya bersejarah Tainan sebelum berhijrah ke AS ketika kecil, Huang kemudiannya meraih status selebriti di Taiwan, dengan fenomena peminat yang mengaguminya dikenali sebagai "Jensanity" - mencerminkan pengaruh besar beliau dalam masyarakat pulau itu.
Bagi ramai rakyat Taiwan, pemergian Huang dianggap kehilangan seorang tokoh berkarisma yang membantu meletakkan pulau itu di pusat ledakan industri AI global.
Seorang eksekutif pemasaran, Jimmy Yang, 42, berkata, pemergian Huang merupakan kehilangan besar kepada Taiwan kerana pengaruhnya bukan sahaja dirasai dalam sektor teknologi, malah turut memberi kesan kepada perniagaan tempatan dan sektor pelancongan.
Beliau turut berharap Huang dapat kembali memimpin Nvidia pada masa hadapan, sebagaimana pengasas bersama Apple, Steve Jobs, yang pernah kembali menerajui syarikat itu selepas disingkirkan.
"Kehidupan peribadinya adalah pilihannya sendiri. Tetapi sumbangannya kepada ekonomi tempatan dan industri teknologi memang sangat besar," katanya. - Agensi