KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan supaya potensi penglibatan sektor pertanian, insurans dan entiti berkaitan kesihatan turut diteliti bagi memperkukuh pembiayaan usaha menangani pencemaran jerebu merentas sempadan di peringkat ASEAN.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan bahawa cadangan itu selaras dengan Artikel 20 Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).
“Sumber pembiayaan berpotensi merangkumi organisasi antarabangsa, institusi kewangan serantau, agensi penderma dan pihak berkepentingan lain yang dipersetujui,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Datuk Seri Tuan Ibharim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), hari ini.
Menurut NRES, cadangan Malaysia itu mendapat sokongan negara anggota Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Serantau (MSC) dan mesyuarat telah bersetuju supaya Sekretariat ASEAN meneroka dan menilai kebolehlaksanaan cadangan tersebut.
“Perbincangan dan rundingan mengenai cadangan ini akan diteruskan dalam Mesyuarat Ke-21 Committee (COM) dan Conference of the Parties (COP) to the AATHP pada Disember 2026 di Vietnam,” menurut kementerian tersebut.
--BERNAMA