Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup rendah berikutan pengambilan untung

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 3.97 mata atau 0.23 peratus kepada 1,754.01 daripada 1,757.98 ketika ditutup semalam. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Selasa berikutan pengambilan untung selepas kenaikan baru-baru ini sekali gus mengakhiri rentetan peningkatan selama tiga hari.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.97 mata atau 0.23 peratus kepada 1,754.01 daripada 1,757.98 ketika ditutup semalam.

Advertisement

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.99 mata lebih rendah kepada 1,755.99 dan bergerak antara 1,747.51 hingga 1,756 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Keseluruhan pasaran adalah hambar apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 636 berbanding 394, manakala 523 kaunter tidak berubah, 1,215 kaunter tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.10 bilion unit bernilai RM2.80 bilion daripada 2.47 bilion unit bernilai RM2.65 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras pasaran itu susut sedikit hari ini selepas mencatatkan kenaikan kukuh baru-baru ini.

Beliau berkata bagaimanapun, sentimen bagi keseluruhan pasaran kekal positif dan penurunan itu dilihat sebagai jeda lazim apabila pelabur mengambil untung susulan kenaikan terdahulu.

“Minat belian juga tidak terjejas dan indeks terus mencatatkan dagangan hampir kepada paras tertinggi terkininya, menunjukkan keyakinan terhadap pasaran,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata konsolidasi semasa dijangka membantu pasaran membina asas yang lebih kukuh sebelum menguji paras tinggi seterusnya.

FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,740 hingga 1,760 sepanjang minggu ini, katanya.

Sementara itu Pengarah merangkap Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata beliau yakin impak aliran penurunan semasa adalah terhad dan bersifat sementara.

“Yang penting, penurunan hari ini mungkin membuka ruang untuk pembelian semasa harga murah, sekali gus memberi peluang kepada pelabur mengumpul saham bermodal besar dan berkualiti tinggi pada penilaian yang lebih menarik,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 18 sen kepada RM12.38, Public Bank naik satu sen kepada RM5.09, IHH Healthcare menokok lapan sen kepada RM9.08, CIMB Group susut enam sen kepada RM8.44, manakala Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM14.10.

Bagi senarai paling aktif, Tanco naik dua sen kepada RM1.50, Pharmaniaga kurang 1.5 sen kepada 30 sen dan Zetrix AI turun dua sen kepada 81 sen. OCR tidak berubah pada 4.5 sen dan VS Industry kekal pada 38.5 sen.

Antara kaunter paling untung, Fraser & Neave melonjak 70 sen kepada RM33.70, Petronas Dagangan naik 42 sen kepada RM21.40, dan Sunway Construction menambah 28 sen kepada RM6.59. VSTECS meningkat 23 sen kepada RM4.50, manakala Malaysian Pacific menokok 20 sen kepada RM31.22.

Kaunter paling rugi, Nestle merosot RM1.40 kepada RM111, United Plantations merosot 70 sen kepada RM29.62, Kuala Lumpur Kepong susut 40 sen kepada RM19.60, Hong Leong Financial berkurang 28 sen kepada RM21.82, manakala Knusford  turun 24 sen kepada 43.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 34.94 mata kepada 12,851.77, Indeks FBMT 100 kurang 33.64 mata kepada 12,674.90, manakala Indeks FBM Emas Syariah turun 70.15 mata kepada 12,346.90.

Indeks FBM 70 kurang 69.44 mata kepada 17,748.72, dan Indeks FBM ACE turun 36.55 mata kepada 4,812.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 62.59 mata kepada 21,714.30, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.92 mata kepada 173.61, Indeks Tenaga kurang 3.36 mata kepada 766.94, dan Indeks Perladangan susut 95.24 mata kepada 8,394.07.

Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 1.34 bilion unit bernilai RM2.61 bilion berbanding 1.39 bilion unit bernilai RM2.44 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran turun kepada 510.55 juta unit bernilai RM63.57 juta daripada 825.20 juta unit bernilai RM89.36 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 257.81 juta unit bernilai RM130.05 juta daripada 256.43 juta unit bernilai RM114.12 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 197.23 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (217.22 juta), pembinaan (138.59 juta), teknologi (162.19 juta), perkhidmatan kewangan (90.19 juta), hartanah (149.79 juta), perladangan (24.36 juta), amanah pelaburan hartanah (12.67 juta), dana tertutup (60,800), tenaga (86.15 juta), penjagaan kesihatan (110.16 juta), telekomunikasi dan media (76.88 juta), pengangkutan dan logistik (34.36 juta), utiliti (40.35 juta), serta amanah perniagaan (5,000).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video