Bursa Malaysia ditutup rendah, indeks komposit turun di bawah paras 1,700

Pada 5 petang, FBM KLCI susut 13.27 mata, atau 0.77 peratus, kepada 1,699.06 daripada paras penutup 1,712.33 pada Isnin. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, turun di bawah paras 1,700 berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan serta prestasi lemah di pasaran serantau di tengah-tengah peningkatan ketegangan geopolitik yang menjejaskan minat risiko pelabur.
Ringkasan AI
- Indeks utama Bursa Malaysia turun di bawah 1,700 disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung dan ketegangan geopolitik yang meningkat.
- Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd menyatakan kebimbangan akibat ancaman tarif Amerika Syarikat ke atas Eropah.
- Dalam kalangan saham, Malayan Banking, Public Bank, dan CIMB Group turun, manakala saham seperti Time dotCom dan Dutch Lady mengalami kenaikan.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 780 berbanding 293, manakala 547 kaunter tidak berubah, 1,047 tidak diniagakan dan 10 digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 2.85 bilion unit bernilai RM2.86 bilion daripada 3.08 bilion unit bernilai RM2.74 bilion pada Isnin.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kebimbangan semakin meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menunjukkan kesungguhan pentadbirannya untuk mengambil alih Greenland dan mengancam mengenakan tarif ke atas negara-negara Eropah.
Beliau berkata negara-negara Eropah dilaporkan sedang membincangkan tarif timbal balas dan langkah-langkah tindak balas ekonomi yang lebih meluas susulan ancaman tarif baharu daripada Trump.
"Di dalam negara, indeks petunjuk pasaran memasuki tempoh penstabilan jangka pendek susulan kenaikan kukuhnya. Tempoh sementara ini dilihat sebagai sihat, memberi masa kepada pasaran untuk menyerap kenaikannya baru-baru ini dan membina asas yang lebih kukuh sebelum potensi pengukuhan seterusnya.
"Selagi indeks kekal di atas paras sokongan utama sekitar 1,680-1,690 dan aliran masuk asing kekal utuh, aliran menaik yang lebih tinggi dijangka berlaku, dengan fasa pengukuhan membuka jalan untuk gelombang kedua kenaikan yang lebih kukuh," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking turun 10 sen kepada RM11.06, Public Bank susut lapan sen kepada RM4.72, dan CIMB Group berkurangan 20 sen kepada RM8.17. Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM13.80, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.41.
Dalam kalangan saham paling aktif, SBS Nexus, yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE hari in i susut satu sen kepada 24 sen, IJM turun lapan sen kepada RM2.57, manakala SMRT meningkat setengah sen kepada 19 sen, Capital A naik dua sen kepada 52.5 sen dan Zetrix AI tidak berubah pada 80.5 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, Time dotCom meningkat 17 sen kepada RM5.72, Dutch Lady mengukuh 12 sen kepada RM31.28, Tradeplus Shariah meningkat 11 sen kepada RM5.88, K.Seng Seng Corp melonjak 10.5 sen kepada 91.5 sen dan Pineapple Resources melonjak 10 sen kepada 85 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 96.34 mata kepada 12,515.20, Indeks FBM Top 100 merosot 94.30 mata kepada 12,312.54, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 47.98 mata kepada 12,192.71, Indeks FBM Mid 70 turun 124.93 mata kepada 17,397.83, dan Indeks FBM ACE berkurangan 53.83 mata kepada 4,881.24.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 370.59 mata kepada 20,444.55, Indeks Tenaga turun 6.30 mata kepada 770.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.50 mata kepada 173.28 dan Indeks Perladangan berkurangan 20.34 mata kepada 8,331.09.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.51 bilion unit bernilai RM2.58 bilion daripada 1.61 bilion unit bernilai RM2.47 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 852.39 juta unit bernilai RM115.84 juta daripada 846.15 juta unit bernilai RM103.22 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 480.23 juta unit bernilai RM167.71 juta daripada 622.52 juta unit bernilai RM194.23 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 248.76 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (231.18 juta), pembinaan (177.53 juta), teknologi (222.22 juta), perkhidmatan kewangan (148.21 juta), hartanah (176.91 juta), perladangan (25.68 juta), amanah pelaburan hartanah (22.75 juta), dana tertutup (74,100), tenaga (78.61 juta), penjagaan kesihatan (81.27 juta), telekomunikasi dan media (37.82 juta), pengangkutan dan logistik (36.74 juta), utiliti (30.14 juta), dan amanah perniagaan (137,300).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


