APABILA penaklukan Konstantinopel pada Mei 1453 diceritakan, kita sering diperkenalkan kepada keperibadian Sultan Mehmet II, atau Sultan Muhammad al-Fatih, sebagai pemimpin yang mempunyai kekuatan iman, keberanian dan cita-cita besar. Kita juga didedahkan tentang peranan ulama yang membimbing serta menguatkan semangat baginda dan tenteranya.
Semua ini mempunyai tempat dalam sejarah. Namun, pada pandangan saya, pengajaran daripada peristiwa tersebut menjadi tidak lengkap apabila kita hanya menonjolkan kekuatan kerohanian, sedangkan ilmu, teknologi, pembiayaan dan kepakaran manusia diletakkan di pinggir cerita.
Hakikatnya, di samping ulama yang memberikan nasihat, dorongan dan tarbiyah kerohanian, terdapat juga seorang pembuat meriam bukan Islam yang menyumbangkan kepakarannya kepada persiapan ketenteraan Uthmaniyyah. Mengakui sumbangannya membolehkan kita memahami kebijaksanaan Sultan Mehmet dengan lebih menyeluruh. Baginda menghargai kekuatan rohani dan pada masa yang sama menggunakan kepakaran yang diperlukan untuk mencapai matlamat.
Tokoh itu dikenali sebagai Orban, seorang pembuat meriam beragama Kristian yang berasal dari Hungary. Namanya dikaitkan dengan pembinaan meriam besar untuk tentera al-Fatih dalam pengepungan dan penaklukan Kota Konstantinopel. Kehadirannya memperlihatkan bahawa kepakaran teknikal boleh bergerak merentas sempadan agama dan politik.
Benar, Konstantinopel tidak jatuh semata-mata kerana seorang pembuat meriam atau satu senjata gergasi. Pengepungan itu melibatkan pelbagai taktikal perang dan senjata seperti meriam, serangan berterusan, perancangan ketenteraan, bekalan dan ketahanan pasukan. Sumbangan Orban merupakan sebahagian daripada usaha Mehmet dalam proses penaklukan ini.
Namun, kesediaan al-Fatih menggunakan kepakaran seorang bukan Islam tetap membawa pengajaran penting. Perbezaan akidah tidak dijadikan alasan untuk menolak kemahiran yang diperlukan oleh pemerintahannya.
Dalam dimensi kerohanian penaklukan itu, nama Syeikh Aksemseddin memang wajar dikenang. Tokoh guru tasawuf ini sememangnya membantu menguatkan semangat dan kerohanian sultan dan tenteranya. Nasihatnya mendorong ketabahan serta kesungguhan meneruskan usaha penaklukan tersebut.
Tetapi apabila kita menyebut ulama yang membimbing sultan, kita juga perlu mengingati mereka yang menuang logam, mengangkut senjata dan menyelesaikan masalah teknikal. Di belakang sebuah kemenangan terdapat manusia dengan tugas serta keahlian yang berbeza. Sumbangan mereka perlu diakui secara adil. Keimanan memberikan arah, tujuan dan kekuatan jiwa. Kepakaran pula membolehkan rancangan dilaksanakan dengan berkesan. Kebijaksanaan pemimpin terletak pada kemampuannya menghimpunkan kedua-dua kekuatan ini.
Pada hemat saya, pengajaran tersebut mempunyai kaitan langsung dengan cara kita memahami politik dan pemerintahan negara, khususnya dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Ada kecenderungan dalam wacana politik untuk menimbulkan kecurigaan terhadap kerjasama dengan parti atau ahli politik bukan Islam, seolah-olah penglibatan mereka dengan sendirinya mengancam kepentingan umat Islam. Apabila tanggapan ini diterima tanpa penilaian yang adil, agama seseorang menjadi ukuran tunggal, sedangkan amanah, kecekapan dan mutu khidmatnya tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Kisah al-Fatih mengajak kita menilai pendekatan tersebut. Jika seorang pemerintah yang dikenang kerana sumbangan besarbya kepada sejarah Islam, tapi masih dapat menghargai kepakaran seorang Kristian, kita juga perlu mempunyai keluasan fikiran untuk mengiktiraf sumbangan bukan Islam dalam membangunkan negara.
Sudah tentu, hubungan seorang sultan dengan pembuat meriam tidak sama dengan hubungan antara parti dalam sebuah kerajaan moden. Peristiwa sejarah itu bukan dalil tunggal untuk menentukan semua hukum pelantikan atau bentuk kerjasama politik. Namun, ia memberikan ibrah yang penting: perbezaan agama tidak dengan sendirinya menafikan manfaat, kebolehan dan sumbangan seseorang.
Dalam negara yang dihuni oleh rakyat pelbagai agama, ahli politik bukan Islam juga membawa suara, keperluan dan harapan masyarakat yang mereka wakili. Mereka mempunyai tanggungjawab terhadap kesejahteraan negara yang sama. Kedudukan mereka sebagai warganegara perlu difahami dalam semangat tanggungjawab bersama, bukannya dilihat semata-mata sebagai pihak luar yang khidmatnya digunakan apabila diperlukan.
Oleh itu, sumbangan parti dan ahli politik bukan Islam wajar dinilai melalui dasar yang diperjuangkan, mutu pentadbiran, integriti serta kesannya kepada rakyat. Apabila mereka membantu memperbaiki perkhidmatan awam, membanteras rasuah, memperkukuh ekonomi atau membela golongan miskin, sumbangan tersebut patut diakui. Manfaat pemerintahan yang baik turut dinikmati oleh umat Islam. Dasar yang mengurangkan kos sara hidup membantu keluarga Muslim dan bukan Muslim. Pentadbiran yang telus melindungi wang rakyat tanpa mengira agama. Usaha mewujudkan pekerjaan dan membaiki kemudahan asas juga memberikan manfaat bersama.
Tidak adil jika sesuatu dasar yang bermanfaat ditolak hanya kerana ia dikemukakan oleh ahli politik bukan Islam. Begitu juga, sesuatu kelemahan tidak sepatutnya dipertahankan hanya kerana dilakukan oleh pemimpin Muslim. Pertimbangan politik memerlukan kejujuran untuk mengiktiraf yang baik dan membetulkan yang salah, termasuk dalam kalangan sendiri.
Identiti agama membawa tanggungjawab moral yang besar. Namun, identiti itu tetap perlu diterjemahkan melalui amanah, kebijaksanaan dan hasil kerja. Rakyat berhak menilai sama ada seseorang pemimpin benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya.
Teladan tentang penggunaan kepakaran bukan Islam juga dapat dilihat dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW. Riwayat Saidatina Aisyah dalam Sahih al-Bukhari menyebut bahawa Rasulullah SAW dan Abu Bakar mengupah seorang penunjuk jalan yang mahir, sedangkan beliau ketika itu masih bukan Islam dan mengikuti agama kaum musyrikin Mekah. Catatan sirah ini menunjukkan bahawa kemampuan dan kebolehpercayaan seseorang lebih-lebih pemimpin dalam tugas tertentu boleh diiktiraf walaupun terdapat perbezaan akidah. Kerjasama dalam urusan yang bermanfaat tidak semestinya bermaksud menerima pegangan agama pihak yang bekerjasama dengan kita.
Dalam politik, prinsip ini menuntut kematangan. Kerjasama perlu berasaskan tujuan yang jelas, persetujuan yang boleh dipertanggungjawabkan dan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat. Perbezaan pendirian hendaklah dibincangkan dengan jujur, sementara tindakan yang merosakkan kepentingan negara mesti ditegur tanpa mengira parti atau agama pelakunya.
Keterbukaan juga tidak bermaksud memberikan kepercayaan tanpa batas. Semua pihak perlu tertakluk kepada penelitian, semak imbang dan tuntutan akauntabiliti. Ukuran ini mesti digunakan secara adil terhadap pemimpin Muslim dan bukan Muslim.
Bagi seorang pemimpin Muslim, mempertahankan prinsip agama boleh berjalan seiring dengan kesediaan bekerjasama. Keteguhan akidah tidak memerlukan kita menafikan kebolehan orang lain. Sebaliknya, keyakinan terhadap agama sepatutnya memberikan keberanian untuk berlaku adil, termasuk kepada mereka yang berbeza kepercayaan dan pendirian politik.
Negara memerlukan pelbagai kepakaran. Ada pemimpin yang mahir mengurus ekonomi, ada yang memahami kebajikan masyarakat, ada yang cekap memperbaiki pentadbiran dan ada yang mampu membina persefahaman antara kelompok rakyat. Kebijaksanaan pemerintahan terletak pada kemampuan menghimpunkan kelebihan tersebut untuk tujuan bersama.
Apabila setiap perbezaan ditafsirkan sebagai ancaman, ruang kerjasama menjadi sempit. Tenaga yang sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah rakyat akhirnya dihabiskan bagi mempertahankan prasangka. Sedangkan rakyat memerlukan pekerjaan, kehidupan yang bermaruah, perkhidmatan yang baik dan pemerintah yang boleh dipercayai.
Oleh itu, apabila kita menceritakan penaklukan Konstantinopel, harus diceritakan dengan lebih lengkap. Ia kisah keteguhan al-Fatih, nasihat ulama dan keberanian tenteranya. Tapi ceritakan juga kepakaran Orban serta kerja para pembuat senjata dan tenaga teknikal yang memungkinkan rancangan dilaksanakan.
Daripada sejarah itu, kita boleh membina budaya politik yang lebih matang: teguh pada prinsip, adil dalam penilaian dan terbuka terhadap sumbangan.
Jika kita mengagumi Sultan Mehmet al-Fatih kerana kekuatan imannya, kita juga wajar mencontohi kebijaksanaannya menghargai kepakaran orang yang berlainan agama. Dalam pemerintahan negara, kebijaksanaan itu menuntut kita mengiktiraf sumbangan semua pihak yang amanah dan mampu membawa kebaikan kepada rakyat.
* Penulis merupakan Naib Canselor Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP).
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.