MASJID TANAH: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Mohd Yunazri Mustamiri meletakkan komitmen 120 peratus dalam gerak kerja kempen bagi mencabar penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau mengakui bukan mudah menembusi kubu Ketua Menteri Melaka itu, namun yakin pendekatan turun padang dan bertemu dengan pengundi mampu memberi ruang kepada PH menyampaikan tawaran serta memahami keperluan penduduk setempat.
Menurutnya, sepanjang 12 hari berkempen, hampir semua lokaliti di kawasan berkenaan sudah dikunjungi bagi mendekati penduduk dan mendapatkan maklum balas mengenai isu yang memerlukan perhatian.
"Kami semua letakkan tenaga di sini 120 peratus. Lebih daripada biasa. Sebab apa? Kalau orang biasa (calon lawan) dia biasalah 100 peratus, kita kena jadi luar biasa (gerak kerja) untuk kawasan ini.
"Dalam tempoh baki kempen ini, kami akan menggempur habis-habisan terutama 'walkabout' dan berjumpa seramai yang boleh pengundi-pengundi di DUN Tanjung Bidara," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Tanjung Bidara, baru-baru ini.
Mengulas agenda pembangunan yang mahu dibawanya jika diberi mandat, Mohd Yunazri berkata antara keutamaan ialah membawa masuk pelabur bagi membangunkan sebuah stesen minyak di Tanjung Bidara.
Katanya, ketiadaan stesen minyak menyebabkan penduduk, nelayan, pekerja serta pelancong terpaksa bergerak lebih tujuh kilometer ke Kuala Sungai Baru atau pekan Masjid Tanah untuk mendapatkan bekalan petrol.
Beliau mendakwa keperluan itu sudah lama disuarakan penduduk memandangkan kawasan berkenaan tidak mempunyai stesen minyak sejak sekian lama.
"Stesen minyak ini merupakan fokus utama saya untuk membawa masuk pelabur dan mengadakan stesen minyak di Tanjung Bidara, insya-Allah.
"Kedua, fasiliti sukan. Kami dapati hampir di setiap lokaliti fasiliti seperti padang futsal dan sebagainya perlu penyelenggaraan dan ada kawasan yang tiada langsung fasiliti sukan untuk anak muda," ujarnya.
Selain itu, Mohd Yunazri merancang mewujudkan kawasan 'waterfront' di Pantai Tanjung Bidara bagi merancakkan kegiatan sosioekonomi, khususnya dalam kalangan golongan muda.
Katanya, pendekatan itu antara idea baharu yang mahu diketengahkan bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi dan aktiviti kepada anak muda di kawasan berkenaan.
Mohd Yunazri turut memaklumkan jentera PH Tanjung Bidara menerima bantuan kepimpinan dari Negeri Sembilan dan Perak yang bergilir-gilir turun padang bagi membantu kempen di kawasan itu.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi Tanjung Bidara memberikan peluang kepada PH untuk membawa pendekatan dan idea baharu bagi menangani isu setempat.
Pada PRN Melaka kali ini, Mohd Yunazri berdepan saingan satu lawan satu dengan Ab Rauf, yang merupakan Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka.