Skip to main content

Malaysia

Cabaran operasi penerbangan tuntut kerjasama serantau

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah (dua, kanan) ketika merasmikan Perhimpunan Presiden Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) kali ke-70 di ibu negara, hari ini. -Foto Facebook Bernama Radio
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah (dua, kanan) ketika merasmikan Perhimpunan Presiden Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) kali ke-70 di ibu negara, hari ini. -Foto Facebook Bernama Radio
Advertisement

KUALA LUMPUR: Cabaran operasi yang semakin membelenggu industri penerbangan menuntut kerjasama serantau lebih kukuh bagi menangani tekanan yang dihadapi sektor berkenaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata kerjasama itu perlu memberi tumpuan kepada usaha memperluas keupayaan penyelenggaraan pesawat, memperkemas pensijilan kawal selia rentas sempadan serta mempercepat pembangunan tenaga mahir dalam industri aeroangkasa.

Menurutnya, syarikat penerbangan di seluruh rantau ini kini berdepan pelbagai kekangan operasi, termasuk kelewatan berpanjangan penghantaran pesawat oleh pengeluar peralatan asal (OEM), tunggakan penyelenggaraan enjin yang serius serta kekurangan alat ganti di peringkat global.

Advertisement

Keadaan itu turut diburukkan oleh kekurangan jurutera berlesen dan tenaga teknikal di rantau ini, sekali gus mengehadkan kapasiti syarikat penerbangan, menjejaskan jadual serta meningkatkan kos operasi.

"Kita mesti bekerjasama bagi menangani tekanan yang dihadapi industri.

Advertisement

"Ini memerlukan kerjasama serantau yang lebih erat untuk memperluas keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), memperkemas pensijilan kawal selia rentas sempadan, menyeragamkan pengurusan trafik udara serta mempercepat latihan teknikal bagi melahirkan generasi baharu tenaga profesional aeroangkasa," katanya.

Hasbi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Perhimpunan Presiden Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) ke-70, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hasbi menegaskan meskipun ketidaktentuan makroekonomi global tidak dapat dihapuskan sepenuhnya, keupayaan institusi untuk menyerap kesannya masih boleh diperkukuh.

Jelasnya, aspek keselamatan penerbangan kekal menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi, dengan pengawasan kawal selia yang kukuh, tadbir urus penerbangan awam yang bebas serta pematuhan ketat terhadap piawaian antarabangsa menjadi asas utama keyakinan penumpang.

"Walaupun kita tidak dapat menghapuskan ketidaktentuan makroekonomi global, kita boleh memperkukuh keupayaan institusi untuk menyerap kesannya.

"Pertama sekali, keselamatan kekal menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Pengawasan kawal selia yang kukuh, tadbir urus penerbangan awam yang bebas serta pematuhan ketat terhadap piawaian antarabangsa merupakan asas utama kepada keyakinan penumpang," katanya.

Selain itu, Hasbi turut menekankan kepentingan keselamatan siber dan daya tahan data penerbangan kritikal, susulan peningkatan pendigitalan dan kesalinghubungan sistem operasi penerbangan.

Menurutnya, kedua-dua aspek itu perlu dianggap sebagai keutamaan dalam memastikan keselamatan penerbangan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa penerbangan awam, pengendali lapangan terbang serta syarikat penerbangan perlu mewujudkan protokol perkongsian maklumat ancaman yang lancar bagi melindungi rangkaian penerbangan daripada gangguan digital.

Must Watch Video

Advertisement