KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan jualan pada saat-saat akhir dalam saham utama terutama sektor kesihatan, utiliti dan perkhidmatan kewangan, dan turut seiring dengan kelemahan pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 9.10 mata atau 0.53 peratus kepada 1,720.71 berbanding 1,729.81 semasa ditutup semalam.
Advertisement
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 6.52 mata kepada 1,723.29 dan bergerak antara 1,719.93 hingga 1,737.12 sepanjang dagangan.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 707 berbanding 442 manakala 486 kaunter kekal tidak berubah, 1,131 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.36 bilion unit bernilai RM4.96 bilion daripada 3.33 bilion unit bernilai RM4.27 bilion semalam.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah apabila tidak meneruskan peningkatan sebelumnya berikutan tekanan jualan semakin meningkat dalam tempoh 15 minit terakhir dagangan.
"Penurunan pada sesi akhir didorong oleh kelemahan menyeluruh di semua sektor berkaitan indeks utama terutama perbankan, penjagaan kesihatan dan utiliti, yang menunjukkan aktiviti pengambilan untung dan pengurangan risiko taktikal menjelang cuti panjang Hari Raya Aidilfitri ," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata di peringkat serantau, semua indeks utama Asia turut ditutup rendah, mencerminkan sentimen enggan mengambil risiko di pasaran berikutan ketidaktentuan geopolitik yang meningkat serta harga minyak mengukuh.
“Ini menunjukkan kelemahan Bursa Malaysia bukan bersifat terpencil, tetapi adalah sebahagian daripada penurunan serantau yang lebih luas,” katanya.
Mohd Sedek berkata walaupun indeks berkenaan menunjukkan daya tahan pada awal sesi dagangan, penyusutan pada akhir dagangan menekankan sensitiviti pasaran terhadap perkembangan luar, terutama kekuatan harga minyak baru-baru ini dan ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah.
Pelabur dilihat merealisasikan keuntungan selepas trend kenaikan baru-baru ini dan pada masa sama mengekalkan pendirian berhati-hati dalam persekitaran ketidaktentuan yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran utama serantau ditutup rendah berikutan prestasi lemah Wall Street apabila Rizab Persekutuan cenderung untuk menaikkan kadar faedah sekali gus menjadi isyarat kepada keputusan bank pusat lain pada masa akan datang.
“Harga minyak melonjak susulan peningkatan konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, yang menjejaskan sentimen pelabur,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare susut 36 sen kepada RM9.03, Petronas Gas menyusut RM1.12 kepada RM16.80, Maybank rendah 14 sen kepada RM11.60 manakala Petronas Chemicals meningkat 58 sen kepada RM5.48 dan Press Metal Aluminium menambah 11 sen kepada RM7.77.
Bagi saham paling aktif, Sunway Healthcare naik 5.0 sen kepada RM1.90, Tanco tidak berubah kepada RM1.40, Zetrix AI turun setengah sen kepada 78.5 sen dan Farm Fresh dan Top Glove masing-masing susut 2.0 sen kepada RM2.55 dan 55.5 sen.
Kaunter paling untung antaranya United Plantations, yang melonjak 84 sen kepada RM34.82, PPB meningkat 56 sen kepada RM11.60, Hong Leong Industries naik 30 sen kepada RM17.10, Kuala Lumpur Kepong meningkat 26 sen pada RM19.92 dan Negeri Sembilan Oil Palms menokok 25 sen kepada RM6.10.
Kaunter paling rugi termasuk Fraser & Neave, yang rendah RM2.50 kepada RM29.30, Malaysian Pacific Industries turun 60 sen kepada RM29.60, Hong Leong Financial Group berkurangan 52 sen kepada RM20.00, Nestle menyusut 50 sen kepada RM100.40 manakala Malayan Cement susut 45 sen kepada RM6.50.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 73.39 mata kepada 12,388.79, Indeks FBM Emas rendah 75.97 mata kepada 12,538.80, Indeks FBM 70 menyusut 137.39 mata kepada 17,142.98, Indeks FBM Emas Shariah turun 19.71 mata kepada 12,267.30 dan Indeks FBM ACE rendah 45.49 mata kepada 4,404.29.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 213.90 mata kepada 20,679.12, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.55 mata kepada 183.16, Indeks Tenaga menambah 10.06 mata kepada 793.81 dan Indeks Perladangan menokok 90.39 mata kepada 8,688.90.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 2.09 bilion unit bernilai RM4.74 bilion daripada 2.21 bilion unit bernilai RM4.05 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.02 bilion unit bernilai RM129.59 juta daripada 807.81 juta unit bernilai RM98.88 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 245.39 juta unit bernilai RM91.69 juta daripada 304.66 juta unit bernilai RM124.84 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 316.95 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (388.98 juta), pembinaan (158.61 juta), teknologi (163.33 juta), perkhidmatan kewangan (128.13 juta), hartanah (189.96 juta), perladangan (42.29 juta), amanah pelaburan hartanah (73.14 juta), dana tertutup (17,400), tenaga (190.14 juta), penjagaan kesihatan (271.90 juta), telekomunikasi dan media (59.78 juta), pengangkutan dan logistik (44.15 juta), utiliti (60.99 juta), dan amanah perniagaan (213,200).
-- BERNAMA