Skip to main content

Dunia

ASEAN gesa perkukuh kerjasama media, galak tadbir urus AI

Kao berkata walaupun AI menawarkan peluang besar untuk industri media, kemajuan pesatnya juga menimbulkan kebimbangan serius terhadap maklumat salah, manipulasi, privasi dan keselamatan awam. - Gambar fail/Reuters
Kao berkata walaupun AI menawarkan peluang besar untuk industri media, kemajuan pesatnya juga menimbulkan kebimbangan serius terhadap maklumat salah, manipulasi, privasi dan keselamatan awam. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

FUZHOU (CHINA): ASEAN dan rakan kongsi Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Korea Selatan, perlu mengukuhkan kerjasama media dan menggalakkan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab bagi menjaga integriti maklumat dan kepercayaan orang ramai di tengah-tengah kepesatan transformasi digital.

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata pengaruh AI yang semakin meningkat dalam membentuk cara maklumat dihasilkan, diedarkan dan digunakan, menjadikannya semakin penting bagi organisasi media untuk mengamalkan dan mengutamakan ketepatan, ketelusan serta akauntabiliti.

Beliau berkata walaupun AI menawarkan peluang besar untuk industri media, kemajuan pesatnya juga menimbulkan kebimbangan serius terhadap maklumat salah, manipulasi, privasi dan keselamatan awam.

Advertisement

"Para profesional media mempunyai peranan penting. Mereka boleh mencerminkan pelbagai perspektif, melindungi privasi dan membantu orang ramai membezakan maklumat yang boleh dipercayai daripada maklumat yang salah dan manipulasi," katanya pada Forum Kerjasama Media ASEAN Campur Tiga (APT) ke-12 di sini. Beliau menyampaikan ucapannya menerusi rakaman video.

Forum Kerjasama Media APT diadakan sempena Forum Kerjasama Media Jalur dan Laluan 2026. 

Advertisement

Kao berkata ASEAN mengambil langkah konkrit untuk mengukuhkan tadbir urus AI yang bertanggungjawab menerusi beberapa inisiatif serantau, termasuk Panduan ASEAN mengenai Tadbir Urus dan Etika AI, Pelan Hala Tuju AI Bertanggungjawab ASEAN dan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN.

Beliau berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen ASEAN untuk memanfaatkan faedah teknologi baharu muncul sambil memastikan pembangunan dan aplikasinya kekal selamat, bertanggungjawab serta berpaksikan rakyat.

Dalam sektor media dan maklumat, beliau berkata ASEAN telah memulakan pelan kerja 10 tahun baharu yang bertujuan meningkatkan akses kepada maklumat, mengukuhkan integriti maklumat dan menangani cabaran yang timbul daripada transformasi digital dan AI.

Kumpulan serantau itu juga berhasrat untuk membangunkan pelan kerja baharu dengan rakan kongsi Campur Tiganya bagi meluaskan kerjasama dalam sektor media dan maklumat, termasuk menerusi perkongsian yang lebih kukuh dan kerjasama merentas sektor.

Di sebalik cabaran teknologi, Kao menekankan kepentingan mengukuhkan rangkaian profesional dalam kalangan wartawan di seluruh ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan untuk mempromosikan pelaporan yang tepat, bertanggungjawab dan berpandukan konteks mengenai perkembangan serantau.

Beliau berkata program pembinaan kapasiti, pertukaran kakitangan dan inisiatif pelaporan bersama boleh meningkatkan standard profesional sambil memupuk pemahaman yang lebih baik dalam kalangan pengamal media daripada negara berbeza.

Kao juga menekankan tanggungjawab media yang lebih luas dalam menterjemah kerjasama serantau kepada naratif bermakna dan difahami rakyat biasa.

“Bagi kebanyakan rakyat kita, kerjasama serantau tidak dialami melalui dokumen atau kenyataan rasmi, sebaliknya menerusi cerita yang mereka baca, tonton dan kongsi.

“Bagaimana kisah-kisah itu diceritakan boleh membentuk sama ada ASEAN Campur Tiga dilihat sebagai proses yang jauh, atau sebagai perkongsian yang membuat perubahan sebenar dalam kehidupan seharian,” katanya.

Memandangkan ekonomi dan masyarakat serantau semakin saling berhubung, Kao berkata media memainkan peranan penting dalam membantu orang ramai memahami kedua-dua peluang dan cabaran kerjasama yang lebih mendalam.

Kao berkata forum itu yang menekankan pada pengukuhan mekanisme ASEAN Campur Tiga, memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan serta menggalakkan pembelajaran bersama antara tamadun, berlangsung tepat pada masanya.

Beliau menambah ASEAN Campur Tiga kekal sebagai salah satu rangka kerja kerjasama yang paling substantif dan berkekalan di rantau ini, dengan pencapaian merangkumi kestabilan kewangan, kesihatan awam, keselamatan makanan, kesalinghubungan dan pertukaran rakyat dengan rakyat.

Forum Kerjasama Media APT, yang dianjurkan oleh China's People's Daily, menghimpunkan pemimpin organisasi media arus perdana, cendekiawan, pakar dan pemimpin perniagaan dari negara ASEAN Campur Tiga untuk saling bertukar pandangan mengenai kerjasama media serantau dan cabaran dalam landskap maklumat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement