KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tidak berubah hari ini dalam persekitaran pasaran yang lengang menjelang cuti hujung minggu yang panjang sempena Tahun Baharu Cina.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tidak berubah, rendah sedikit 0.08 mata kepada 1,512.28 daripada paras pentutup 1,512.36. pada Khamis.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada 12 Februari bersempena dengan cuti umum Tahun Baharu Cina 2024.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 1.46 mata kepada 1,513.82 dan bergerak antara paras 1,509.56 dan 1,514.72 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 530 berbanding 313 manakala 445 kaunter tidak berubah, 999 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 1.862 bilion unit bernilai RM1.096 bilion daripada 3.25 bilion unit bernilai RM2.0 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Bursa Malaysia ditutup dengan volum yang sedikit dengan minat belian di pasaran yang lebih luas terutamanya pada sektor tenaga dan hartanah.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, CelcomDigi dan Press Metal masing-masing menambah satu sen kepada RM4.23 dan RM4.63, MISC melonjak dua sen kepada RM7.35, Maybank, Tenaga Nasional dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing pada RM9.26, RM10.78 dan RM6.71, manakala Public Bank merosot dua sen kepada RM4.35 dan CIMB turun empat sen kepada RM6.19.

Dalam kalangan kaunter cergas, Dataprep melonjak dua sen kepada 15 sen, Minetech naik 1.5 sen kepada 14.5 sen, Velesto tidak berubah pada 26.5 sen, Reneuco menguncup 1.5 sen kepada 5.5 sen, manakala Widad dan TWL masing-masing berkurangan 0.5 sen kepada 12 sen dan 3.5 sen.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Reneuco mengumumkan bahawa syarikat itu adalah penerbit tersenarai terjejas di bawah Nota Amalan 17 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 11.09 mata kepada 11,245.02, Indeks FBMT 100 meningkat 7.03 mata kepada 10,904.51, Indeks FBM 70 menokok 41.10 mata kepada 15,210.33, Indeks FBM Emas Shariah menambah 20.35 mata kepada 11,286.18 dan Indeks FBM ACE melonjak 50.40 mata kepada 4,822.21.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah meningkat 7.25 mata kepada 912.35, Indeks Perladangan merosot 5.75 mata kepada 7,192.16 dan Indeks Tenaga menokok 7.26 mata kepada 887.96.

Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 35.92 mata kepada 16,880.97 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.46 mata kepada 172.69.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut sedikit kepada 1.08 bilion unit bernilai RM933.56 juta daripada 1.85 bilion unit bernilai RM1.77 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran turun kepada 448.53 juta unit bernilai RM71.83 juta daripada 676.53 juta unit bernilai RM102.92 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 325.18 juta saham bernilai RM88.91 juta daripada 695.62 juta saham bernilai RM118.56 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 224.44 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (200.03 juta); pembinaan (71.30 juta); teknologi (135.69 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (26.82 juta); hartanah (207.56 juta); perladangan (10.43 juta); REITs (8.02 juta), dana tertutup (27,000); tenaga (90.56 juta); penjagaan kesihatan (33.31 juta); telekomunikasi dan media (16.641 juta); pengangkutan dan logistik (13.00 juta); dan utiliti (38.05 juta).

-- BERNAMA