Skip to main content

Dunia

Pekerja industri logam Jerman mogok 24 jam susulan rundingan gaji tergendala

Ribuan pekerja menghentikan kerja di beberapa kawasan perindustrian, termasuk kilang BMW dan Audi di Bavaria, kilang pembekal di Baden-Wuerttemberg serta limbungan kapal di utara Jerman. - Foto REUTERS
Ribuan pekerja menghentikan kerja di beberapa kawasan perindustrian, termasuk kilang BMW dan Audi di Bavaria, kilang pembekal di Baden-Wuerttemberg serta limbungan kapal di utara Jerman. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Kesatuan sekerja IG Metall Jerman melancarkan mogok amaran 24 jam selepas tiga pusingan rundingan gaji dan jaminan pekerjaan gagal capai persetujuan.
  • Mogok melibatkan ribuan pekerja di kilang automotif, pembekal, dan limbungan kapal, menandakan mogok sehari penuh pertama dalam lapan tahun.
  • IG Metall menuntut kenaikan gaji lima peratus dan perlindungan pekerjaan, manakala majikan menawarkan bayaran sekali sahaja dan kenaikan gaji tetap 1.3 peratus.
Advertisement

BERLIN: Kesatuan sekerja industri terbesar Jerman, IG Metall, pada Jumaat melancarkan mogok amaran 24 jam, sekali gus meningkatkan pertikaian berhubung gaji dan jaminan pekerjaan selepas tiga pusingan rundingan gagal mencapai persetujuan, lapor Anadolu Ajansi.

Ribuan pekerja menghentikan kerja di beberapa kawasan perindustrian, termasuk kilang BMW dan Audi di Bavaria, kilang pembekal di Baden-Wuerttemberg serta limbungan kapal di utara Jerman.

Sebahagian tindakan menghentikan kerja bermula ketika syif malam Khamis, manakala tindakan perusahaan selanjutnya dirancang pada awal minggu depan.

Advertisement

Anggota kesatuan yang menyertai mogok sehari penuh itu menerima bayaran mogok.

IG Metall menuntut kenaikan gaji sebanyak lima peratus, selain komitmen yang mengikat bagi melindungi pekerjaan dan kemudahan pengeluaran.

Advertisement

Kesatuan itu turut menuntut pengaturan perkongsian keuntungan di syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan lebih kukuh serta faedah tambahan untuk pekerja bergaji rendah.

Majikan mencadangkan bayaran sekali sahaja bersamaan kira-kira satu peratus daripada gaji kasar tahunan pada Julai 2027, yang boleh tidak dibayar oleh syarikat yang menghadapi masalah kewangan.

Tawaran itu turut merangkumi kenaikan gaji tetap sebanyak 1.3 peratus mulai Julai 2028 di bawah cadangan perjanjian selama 26 bulan.

Mogok amaran sehari penuh pertama dalam tempoh lapan tahun

Perjanjian perundingan kolektif seluruh industri itu meliputi kira-kira 3.7 juta pekerja dalam industri automotif, kejuruteraan mekanikal, elektrik dan pengeluaran logam di seluruh Jerman.

Menurut IG Metall, pusingan awal mogok amaran yang berlangsung lebih singkat sebelum ini disertai kira-kira 464,000 pekerja.

Tindakan terbaharu itu menandakan kali pertama dalam tempoh lapan tahun kesatuan berkenaan menganjurkan mogok amaran sehari penuh.

Walaupun pertikaian semakin memuncak, tiada pusingan keempat rundingan dijadualkan setakat ini.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement