KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit hari ini sejajar dengan sentimen positif di pasaran serantau menjelang pengumuman data senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.03 mata kepada 1,539.86 daripada paras penutup 1,535.83 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka tinggi naik 0.69 mata kepada 1,536.52, bergerak dalam jajaran kecil antara paras 1,535.32 dan 1,541.15 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 495 berbanding 486, manakala 425 kaunter tidak berubah, 870 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Bagaimanapun, jumlah dagangan turun kepada 3.03 bilion unit bernilai RM2.73 bilion daripada 3.65 bilion unit bernilai RM2.66 bilion pada Khamis.

Mohd Sedek Jantan, ketua penasihat dan penyelidikan harta dan pengurus portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors berkata FBM KLCI dijangka berada dalam aliran meningkat menjelang pengumuman data pekerjaan penting AS malam ini.

"Para pelabur menilai dengan teliti pelbagai faktor termasuk prospek penurunan kadar dan jualan bersih asing.

"Sektor seperti perladangan, perkhidmatan kewangan dan tenaga menerajui kenaikan dengan sektor perladangan khususnya mencatatkan aliran meningkat sejak tiga hari lalu, didorong oleh kebimbangan pasaran terhadap isu bekalan," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, pasaran saham Asia kebanyakannya berada pada trajektori menaik, mendapat rangsangan daripada isyarat memberangsangkan dari pasaran global dan jangkaan penurunan kadar oleh bank pusat utama.

Dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi, Maybank naik lima sen kepada RM9.75, CIMB meningkat 13 sen kepada RM6.65, Tenaga Nasional menokok 12 sen kepada RM11.28, manakala Public Bank susut satu sen kepada RM4.29 dan Petronas Chemicals turun 13 sen kepada RM6.81.

Dalam kalangan saham cergas, AMMB Holdings naik 18 sen kepada RM4.13, manakala YTL Power International turun 16 sen kepada RM3.67, YTL Corporation susut sembilan sen kepada RM2.50, MyEG Services jatuh 1.5 sen kepada 77.5 sen dan Matang turun 1.5 sen kepada 8.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 30.14 mata kepada 11,423.14, Indeks FBMT 100 meningkat 32.59 mata kepada 11,088.05, Indeks FBM Emas Shariah menokok 22.34 mata kepada 11,423.98 dan Indeks FBM 70 menambah 60.11 mata kepada 15,403.38, manakala Indeks FBM ACE susut 16.23 mata kepada 4,689.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 104.90 mata kepada 17,368.74, Indeks Perladangan naik 48.52 mata kepada 7,316.33, Indeks Tenaga menokok 6.36 mata kepada 903.57, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustian turun 0.89 mata kepada 174.16.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.80 bilion unit bernilai RM2.48 bilion daripada 1.86 bilion unit bernilai RM2.31 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran turun kepada 798.79 juta unit bernilai RM115.89 juta daripada 1.04 bilion unit bernilai RM137.33 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 429.91 juta saham bernilai RM128.38 juta daripada 624.71 juta saham bernilai RM146.57 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 268.77 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (389.14 juta); pembinaan (117.30 juta); teknologi (172.82 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (155.51 juta); hartanah (286.73 juta); perladangan (58.71 juta); REITs (14.42 juta), dana tertutup (34,800); tenaga (107.15 juta); penjagaan kesihatan (42.91 juta); telekomunikasi dan media (22.80 juta); pengangkutan dan logistik (21.69 juta); dan utiliti (138.93 juta).

-- BERNAMA