KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia ditutup tinggi pada petang Selasa, seiring dengan pemulihan ekuiti global yang dirangsang oleh sentimen pasaran yang semakin baik, kata para peniaga.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 1.78 mata untuk mengakhiri urus niaga hari ini pada 1,574.02 daripada 1,572.24 semalam.

Indeks utama yang dibuka 0.68 mata lebih rendah pada 1,571.56 pagi ini, berlegar antara 1,571.21 dan 1,577.57 sepanjang sesi dagangan.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan positif dengan kaunter untung mendahului rugi 528 berbalas 481 manakala 468 kaunter tidak berubah, 726 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan terus menyusut kepada 5.9 bilion unit bernilai RM3.08 bilion hari ini daripada 6.04 bilion unit bernilai RM2.8 bilion pada hari Isnin.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, indeks FBM KLCI ditutup 0.11 peratus lebih tinggi hari ini dengan Digi mendahului kaunter untung utama dalam kalangan 30 kaunter indeks, meningkat 2.3 peratus kerana pelabur begitu yakin dengan langkah penggabungan Celcom-Digi.

Ini menjadikan indeks Telekomunikasi dan Media Bursa Malaysia paling untung sebanyak 2.3 peratus, katanya.

"Sentimen keseluruhan turut disokong oleh penurunan kes COVID-19 harian di Malaysia yang berkurangan kepada 4,743 kes, sementara jumlah dos vaksinasi yang diberikan pada 21 Jun mencapai 235,623 dos.

"Pelabur juga mengambil kesempatan untuk melakukan pembelian ketika saham berharga murah selepas mengambil petunjuk daripada Indeks Dow Jones yang berakhir lebih tinggi semalaman dengan para pelabur kembali ke sektor tenaga dan lain-lain sektor yang diharapkan dapat meningkat kembali tatkala ekonomi semakin pulih," katanya kepada Bernama

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing naik dua sen kepada RM8.20 dan RM4.20, PetChem meningkat tiga sen kepada RM7.98, Tenaga menokok empat sen kepada RM10.04, CIMB lebih tinggi sebanyak satu sen kepada RM4.60 sementara IHH susut satu sen kepada RM5.75.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik naik 2.5 sen kepada 62.5 sen, VSolar dan Fintec masing-masing tidak berubah pada 1.5 sen dan 3.5 sen, sementara MMAG turun dua sen kepada 16 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 1.86 mata pada 11,474.62, Indeks FBMT 100 menokok 0.69 mata kepada 11,168.0, dan FBM ACE naik 63.88 mata kepada 7,622.49.

Indeks FBM Emas Syariah, bagaimanapun, menguncup 18.52 mata kepada 12,596.67, sementara FBM 70 merosot 46.24 mata kepada 14,865.8.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 41.79 mata kepada 15,287.79, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.33 mata kepada 189.45 sementara Indeks Perladangan kerugian 59.14 mata kepada 6.538.18.

Jumlah dagangan di pasaran utama meningkat sedikit kepada 3.55 bilion saham bernilai RM2.52 bilion daripada 3.24 bilion saham bernilai RM2.28 bilion pada hari Isnin.

Jumlah dagangan waran turun kepada 277.17 juta unit bernilai RM29.69 juta daripada 318.46 juta unit bernilai RM40.43 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menyusut kepada 2.08 bilion saham bernilai RM522.39 juta daripada 2.48 bilion saham bernilai RM477.21 juta semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 597.56 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.04 bilion), pembinaan (115.71 juta), teknologi (335.41 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.82 juta), hartanah (200 juta), perladangan (24.18 juta), REIT (2.81 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (891.93 juta), penjagaan kesihatan (46.31 juta), telekomunikasi dan media (101.59 juta), pengangkutan dan logistik (90.05 juta) dan utiliti (45.66 juta). - BERNAMA