KUALA LUMPUR: Sebanyak 64 peratus responden Kajian Persepsi Rasuah 2026 oleh Merdeka Centre menganggap rasuah sebagai perkara biasa dalam kehidupan seharian di Malaysia, namun majoriti dalam kalangan mereka tetap berpandangan bahawa amalan itu salah dan perlu dibanteras.
Timbalan Ketua (Strategi) Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN) Ibu Pejabat Asia, Prof Wong Chin Huat berkata dapatan itu menunjukkan bahawa meskipun rasuah dilihat semakin berleluasa dan seolah-olah menjadi kebiasaan dalam masyarakat, keadaan tersebut tidak semestinya bermakna rakyat menerima atau merestui amalan berkenaan.
Beliau berkata daripada keseluruhan 1,209 responden yang mengambil bahagian dalam kajian itu, 64 peratus menganggap rasuah sebagai perkara biasa dalam kehidupan di Malaysia, manakala 26 peratus tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan.
"Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai pendirian peribadi, 60 peratus daripada mereka yang menganggap rasuah sebagai perkara biasa tetap berpendapat bahawa amalan itu sentiasa salah.
"Sementara itu, sembilan peratus berpendapat rasuah kadangkala diperlukan, manakala 24 peratus menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
"Ini menunjukkan bahawa walaupun masyarakat melihat rasuah sebagai amalan yang berleluasa atau semakin dinormalisasikan, mereka tidak semestinya menerima atau merestuinya. Maksudnya, mereka merasakan rasuah seharusnya ditangkis dan dihapuskan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Persepsi Rasuah anjuran Allianz Centre for Governance di Menara Allianz Sentral di sini, semalam.
Kajian yang dijalankan menerusi temu bual telefon antara 12 Mac hingga 9 April lepas itu melibatkan responden berumur 18 tahun ke atas yang dipilih secara persampelan rawak di 14 negeri, merangkumi 222 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Mengulas lanjut, Wong berkata agensi penguatkuasaan undang-undang, pemimpin dan parti politik serta Ahli Parlimen merupakan tiga kelompok institusi yang mencatatkan persepsi rasuah tertinggi dalam kalangan responden.
Menurutnya, 48 peratus responden berpandangan bahawa tahap rasuah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang adalah tinggi atau sangat tinggi, diikuti pemimpin dan parti politik (42 peratus) serta Ahli Parlimen (36 peratus).
Institusi lain yang turut mencatatkan persepsi rasuah tinggi ialah pihak berkuasa tempatan (35 peratus), penjawat awam (34 peratus), syarikat berkaitan kerajaan (22 peratus), badan kehakiman dan mahkamah (20 peratus) serta sektor swasta dan perniagaan (19 peratus).
Wong berkata persepsi itu sebahagiannya dipengaruhi pengalaman seharian masyarakat ketika berurusan dengan agensi penguatkuasaan, selain kebimbangan terhadap pengaruh hubungan politik dalam proses pemberian kontrak kerajaan.
Sehubungan dengan itu, beliau menekankan kepentingan melaksanakan pembaharuan sistem pembiayaan politik, termasuk meningkatkan ketelusan sumber dana serta memperkenalkan pembiayaan awam kepada parti politik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penyumbang swasta.
Dalam pada itu, kajian berkenaan turut mendapati 47 peratus responden mahukan hukuman lebih berat dan tindakan penguatkuasaan lebih tegas bagi membanteras rasuah, manakala 21 peratus menggesa supaya penguatkuasaan undang-undang sedia ada dipertingkatkan.
Sementara itu, forum berkenaan turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari; Felo Penyelidik Ibu Pejabat Asia SDSN, Maha Balakrishnan; serta Pegawai Penyelidik Dasar dan Perundangan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Centre), Prishanth Linggaraj.
Antara isu utama yang dibangkitkan ahli panel ialah keperluan menggubal Akta Pembiayaan Politik, mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mewujudkan institusi ombudsman dan mekanisme aduan yang lebih berkesan bagi membolehkan orang ramai menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan.
Maha pula mengetengahkan jurang ketara antara persepsi masyarakat terhadap rasuah dengan jumlah kes yang disiasat dan berakhir dengan sabitan kesalahan berdasarkan data yang diperoleh.
Beliau turut menarik perhatian terhadap penurunan ketara bilangan kes yang diteruskan daripada peringkat siasatan kepada prosiding mahkamah dan seterusnya membawa kepada sabitan kesalahan.
Menurutnya, keadaan itu memberi gambaran mengenai kemungkinan wujudnya kelemahan dari segi akauntabiliti, selain menimbulkan cabaran terhadap keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan usaha membanteras rasuah.
-- BERNAMA