Skip to main content

Dunia

Jumlah pelancong asing ke Jepun catat rekod bulanan 3.91 juta pada Oktober

Jumlah pelancong asing yang berkunjung ke Jepun meningkat 0.4 peratus pada Oktober berbanding tempoh sama tahun lepas, kepada kira-kira 3.91 juta orang. - Gambar hiasan
Jumlah pelancong asing yang berkunjung ke Jepun meningkat 0.4 peratus pada Oktober berbanding tempoh sama tahun lepas, kepada kira-kira 3.91 juta orang. - Gambar hiasan

Ringkasan AI

  • Jumlah pelancong asing ke Jepun pada Oktober meningkat 0.4 peratus kepada 3.91 juta, mencatatkan rekod bulanan baharu menurut anggaran kerajaan.
  • Kemasukan pelancong dari China menurun 47 peratus, sementara pelawat dari Korea Selatan dan Taiwan masing-masing meningkat 19.4 dan 6.5 peratus.
  • Peningkatan pelancong dipengaruhi musim luruh, cuti hujung minggu panjang, dan cuti persekolahan di luar negara, menurut Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun.
Advertisement

TOKYO: Jumlah pelancong asing yang berkunjung ke Jepun meningkat 0.4 peratus pada Oktober berbanding tempoh sama tahun lepas kepada kira-kira 3.91 juta orang, sekali gus mencatat rekod bulanan baharu, menurut anggaran kerajaan yang dikeluarkan pada Rabu, lapor Kyodo News.

Susulan kenyataan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi tahun lepas berhubung kemungkinan berlakunya krisis di Taiwan, jumlah pelancong China terus mencatatkan penurunan. 

Bagaimanapun, ketibaan pelancong dari negara Asia selain China, serta Eropah dan Amerika Utara, kekal kukuh, menurut Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO).

Advertisement

Peningkatan tahun ke tahun itu merupakan yang pertama dalam tempoh tiga bulan sejak Julai. Organisasi berkenaan berkata Oktober menjadi antara bulan popular untuk melawat Jepun kerana ia menandakan permulaan musim dedaun  luruh.

Selain itu, permintaan turut meningkat berikutan cuti hujung minggu panjang dan cuti persekolahan di luar negara, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah pelawat dari banyak negara berbanding tahun sebelumnya.

Advertisement

Mengikut negara dan wilayah, Korea Selatan mendahului senarai dengan kira-kira 1.04 juta pelawat, meningkat 19.4 peratus, diikuti Taiwan dengan 634,600 pelawat, meningkat 6.5 peratus, menurut organisasi itu.

Sementara itu, jumlah pelawat dari China merosot 47.0 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 379,500 orang, sekali gus mencatatkan penurunan tahun ke tahun untuk bulan ke-11 berturut-turut.

Hubungan China-Jepun kekal tegang selepas Takaichi pada November 2025 membayangkan bahawa serangan Beijing terhadap Taiwan yang memerintah sendiri boleh mencetuskan tindak balas daripada pasukan pertahanan Jepun bagi menyokong Amerika Syarikat. 

China menganggap Taiwan sebagai wilayahnya yang berpisah dan perlu disatukan semula dengan tanah besar, termasuk melalui penggunaan kekerasan jika perlu.

-- BERNAMA-KYODO

 

Must Watch Video

Advertisement