KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meraih peningkatan kecil sebanyak 0.13 peratus pada sesi awal dagangan Rabu walaupun dalam senario tindakan pasaran serta dagangan yang suram semalam.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.95 mata kepada 1,452.73 daripada paras 1,450.78 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.59 mata kepada 1,452.37.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 121 berbanding 91 manakala 273 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,818 tidak diniagakan dan 56 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 137.75 juta unit bernilai RM52.47 juta.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Rakuten Trade Sdn Bhd berkata di peringkat global, Wall Street kekal kukuh berikutan sentimen optimis terhadap ekuiti AS yang terus mendorong tiga indeks utama hampir mencecah paras tertinggi.

"Namun, ada yang menjangkakan aliran menaik ini mereda jika Rizab Persekutuan AS (Fed) memutuskan untuk terus memanjangkan lagi tempoh pelarasan kadar berkenaan," katanya.

Di peringkat tempatan, FBM KLCI susut ke paras 1,450 berikutan tiada aktiviti susulan daripada pembelian saham tempatan dan dalam persekitaran dagangan yang perlahan semalam.

"Walaupun kami menjangkakan aktiviti pembelian saham perbankan berlaku selepas mencatat penurunan selama seminggu, sentimen keseluruhannya sebaliknya mungkin masih belum ketara. Oleh itu kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam jajaran 1,450 hingga 1,460 hari ini," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Hong Leong Bank menambah 16 sen kepada RM18.66, Petronas Chemicals naik empat sen kepada RM7.23, Maybank dan YTL Power masing-masing meraih dua sen kepada RM8.91 dan RM2.52.

Bagi saham aktif, Sarawak Cable meraih lima sen kepada 33 sen, Bina Puri dan Minetech masing-masing naik setengah sen kepada sembilan sen dan 16 sen manakala TWL susut setengah sen kepada tiga sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM ACE meningkat 5.14 mata kepada 5,224.11, Indeks FBM Emas menokok 17.47 mata kepada 10,822.62 manakala Indeks FBMT 100 naik 14.57 mata kepada 10,481.75.

Indeks FBM 70 meningkat 22.40 mata kepada 14,647.99 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 12.31 mata kepada 11,023.84.

Bagi sektor pula, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.46 mata kepada 173.0, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 35.8 mata kepada 16,227.24, Indeks Perladangan menokok 0.93 mata kepada 6,999.06 dan Indeks Tenaga naik 3.20 mata kepada 822.63.

Bagaimanapun, Indeks Hartanah susut 0.55 mata kepada 863.37.

-- BERNAMA