Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Pelaburan lebih RM200 bilion separuh pertama 2026 bakal wujudkan 99,030 peluang pekerjaan - MITI

Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion bagi tempoh berkenaan iaitu peningkatan sebanyak 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kata MITI.
Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion bagi tempoh berkenaan iaitu peningkatan sebanyak 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kata MITI.

Advertisement

PUTRAJAYA: Sebanyak 99,030 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi 2,746 projek pelaburan yang diluluskan dalam tempoh separuh pertama 2026 sekali gus membuka ruang lebih luas kepada rakyat Malaysia untuk mengisi pekerjaan berkemahiran tinggi dan menikmati pendapatan lebih baik.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion bagi tempoh berkenaan iaitu peningkatan sebanyak 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau memberitahu, kejayaan pelaburan negara tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan semata-mata sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan peningkatan pendapatan pekerja.

"Persoalan lebih penting ialah berapa banyak teknologi dapat dikuasai oleh rakyat Malaysia? Berapa ramai bakat tempatan boleh mengisi jawatan teknikal dan profesional? Berapa banyak syarikat tempatan mampu naik ke rantaian nilai yang lebih tinggi?," katanya pada Majlis Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) 2026, di sini, pada Selasa.

Teks beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) MITI,  A.R. Jaya Singam.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Kamaruzzaman Johari; Ketua Pengarah MPC, Dr Mohamad Norjayadi Tamam dan Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong.

Hairil Yahri memaklumkan, pembangunan industri berteknologi tinggi termasuk sektor semikonduktor, aeroangkasa, pembuatan pintar, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau perlu bergerak seiring dengan usaha melahirkan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran relevan.

Menurut beliau, kemasukan teknologi canggih ke negara ini tidak akan memberi manfaat maksimum sekiranya industri masih kekurangan juruteknik, jurutera dan tenaga profesional tempatan yang mampu mengendalikan serta membangunkan teknologi berkenaan.

"Sebab itulah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) memberi penekanan kepada industri bernilai tinggi, kerencaman ekonomi dan penerapan teknologi. Sama ada dalam semikonduktor, aeroangkasa, pembuatan pintar, kecerdasan buatan atau teknologi hijau, pelaburan dan pembangunan bakat mesti bergerak serentak," katanya.

Dalam pada itu, Hairil Yahri menyatakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan sasaran gaji bulanan median sebanyak RM3,500 menjelang 2030 selain meningkatkan bahagian pampasan pekerja kepada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata, sasaran berkenaan perlu disokong oleh pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.6 peratus setahun melalui penggunaan teknologi, peningkatan kemahiran dan proses kerja lebih cekap.

Hairil Yahri memberitahu, usaha meningkatkan bilangan pekerja mahir juga perlu dipergiat memandangkan golongan itu hanya mewakili 30.1 peratus daripada keseluruhan guna tenaga pada 2025 berbanding sasaran nasional sebanyak 35 peratus menjelang 2030.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, pelaksanaan ADI menerusi pendekatan Place and Train yang membolehkan peserta bekerja sambil memperoleh latihan mengikut keperluan majikan akan menjadi antara instrumen penting untuk merapatkan jurang kemahiran negara.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan turut menyokong usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing secara terancang.

"Seramai 2.13 juta pekerja warga asing atau 12.7 peratus daripada 16.77 juta penduduk bekerja pada suku kedua 2026 telah direkodkan. RMK13 menetapkan sasaran bahagian pekerja asing kepada 10 peratus menjelang 2030," katanya.

Justeru, beliau menggesa majikan melihat pembangunan kemahiran pekerja sebagai pelaburan strategik dan bukannya kos sampingan selain menyediakan bimbingan serta laluan peningkatan kerjaya selepas penempatan pekerjaan.

Sementara itu, Pengerusi MPC berkata, sebanyak 15,893 penempatan bakat berjaya dilaksanakan menerusi inisiatif ADI setakat Oktober lepas dengan penyertaan 3,064 syarikat dalam usaha merapatkan jurang kemahiran dan menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

Menurut Kamaruzzaman, pencapaian itu membuktikan kerjasama strategik antara kerajaan dengan industri mampu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan sebenar sekali gus menyokong agenda pembaharuan pasaran buruh negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, lebih banyak syarikat perlu tampil menyertai inisiatif berkenaan bagi memastikan pembangunan bakat tempatan terus berkembang seiring dengan perubahan ekonomi dan keperluan industri.

"ADI bukan sekadar program latihan atau penempatan pekerjaan tetapi instrumen pembaharuan pasaran buruh yang menghubungkan keperluan sebenar industri dengan potensi tenaga kerja tempatan.

“Pendekatan ini membantu merapatkan jurang kemahiran, memperkukuh kebolehpasaran dan memastikan pembangunan bakat bergerak seiring perubahan ekonomi," katanya.

Kamaruzzaman menegaskan, pendekatan latihan berasaskan industri yang menggabungkan 80 peratus pembelajaran praktikal di tempat kerja dan 20 peratus pengukuhan teori serta kompetensi membolehkan peserta memperoleh pengalaman sebenar, bukan sekadar kelayakan akademik.

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video

Advertisement