Skip to main content
Advertisement

Politik

PKR jangan jadi ‘pengulas rumah tangga’ BN - Sivaraj

C Sivaraj berkata, PKR seharusnya menghormati hak setiap parti untuk menentukan hala tuju dan masa depan gabungan masing-masing, tanpa mempersoalkan relevansi parti komponen BN. - Gambar fail/Astro AWANI
C Sivaraj berkata, PKR seharusnya menghormati hak setiap parti untuk menentukan hala tuju dan masa depan gabungan masing-masing, tanpa mempersoalkan relevansi parti komponen BN. - Gambar fail/Astro AWANI

Advertisement

KUALA LUMPUR: PKR diingatkan supaya tidak sibuk menjadi ‘pengulas rumah tangga orang’ dengan mencampuri kemelut dalaman Barisan Nasional (BN), sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan parti sendiri serta persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Pengarah Strategi Nasional MIC, Datuk C Sivaraj berkata, PKR seharusnya menghormati hak setiap parti untuk menentukan hala tuju dan masa depan gabungan masing-masing, tanpa mempersoalkan relevansi parti komponen BN.

Menurutnya, BN tidak memerlukan campur tangan pihak luar untuk menentukan relevansi parti komponennya, sebaliknya perlu diberi ruang untuk menilai kekuatan dan kelemahan gabungan itu melalui perbincangan bersama.

"Jika benar mahu bercakap tentang kematangan politik, mulakan dengan menghormati hak parti lain untuk menentukan hala tuju mereka sendiri.

"Jangan cuba menjadi pengulas rumah tangga orang lain sehingga terlupa bahawa politik sepatutnya berteraskan dasar, khidmat dan kepercayaan rakyat," katanya dalam kenyataan di Instagramnya, di sini pada Selasa.

Selain itu Sivaraj turut mengingatkan kematangan politik seharusnya diterjemahkan melalui dasar, rekod perkhidmatan dan kepercayaan rakyat, bukannya dengan mempertikaikan kedudukan parti lain.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa PKR mencari formula baharu bagi menghadapi PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), susulan kebimbangan kemungkinan prestasi tidak memuaskan seperti yang berlaku pada PRN Sabah berulang di Melaka.

Beliau turut menggesa Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, meneliti formula baharu sebagai kesinambungan kepada strategi yang diperkenalkan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Tze Tzin sebelum ini berkata, pertelingkahan terbaharu antara MCA dan UMNO menunjukkan parti pimpinan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu masih enggan mengakui kedudukannya yang menurut beliau terpaksa akur kepada UMNO dalam politik gabungan.

Beliau berkata, hasrat UMNO menjalinkan kerjasama dengan bekas seterunya, Pas, berpotensi menjadikan MCA dan MIC sebagai parti komponen kecil yang tidak lagi relevan, sekali gus menyebabkan pandangan kedua-dua parti itu diketepikan.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement