KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli sepatutnya mempersoalkan dirinya kenapa beliau begitu agresif terhadap isu mafia korporat yang mana langkah telah dibuat oleh kerajaan untuk melakukan siasatan.
Peguambela dan peguamcara, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, tindakan itu berbeza dengan cara Pengasas Parti Bersama itu yang langsung mengambil sikap tidak agresif terhadap Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kes khalwat.
"Apa yang kita nampak cara Rafizi menangani isu Nik Nazmi ini ada double standard berbanding dengan isu mafia korporat yang mana beliau nampak lebih lantang.
"Ini menimbulkan persoalan sama ada Rafizi benar-benar memperjuangkan prinsip kebenaran atau prinsip tersebut akan luntur jika ada isu yang membabitkan rakannya sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penasihat Pertubuhan Kebajikan Impak Madani (Impak Madani), John Ooh Sin Hwa sebelum ini berkata, Rafizi sengaja menimbulkan isu mafia korporat demi menutup aib kes tuduhan khalwat sekutunya, Nik Nazmi menjelang PRN Melaka yang akan datang.
John berkata, taktik tersebut sememangnya sinonim dengan Rafizi dan beliau dipercayai melakukannya bagi mengelak Bersama kalah teruk dalam PRN Melaka.
Menurut Zulqarnain, mungkin atas dasar itulah menyebabkan ada orang yang menyatakan Rafizi cuba mengalih isu Nik Nazmi kepada isu mafia korporat disebabkan suaranya yang tidak lantang apabila menangani isu Nik Nazmi berbanding beliau menangani isu mafia korporat.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, isu mafia korporat itu telah dibangkitkan lama oleh Rafizi seawal beliau meletakkan jawatan di dalam PKR dan sebagai Menteri Ekonomi.
Namun, ia kebetulan sekarang isu Nik Nazmi telah dilaporkan dan Bersama telah merehatkan beliau daripada parti selama tiga bulan.
"Saya fikir apa yang Rafizi ulang mengenai mafia korporat ini adalah respon balas terhadap kenyataan pihak kerajaan yang mana mengumumkan bahawa laporan mengenai mafia korporat itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri setelah siasatan mengenai perkara itu selesai.
"Perdana Menteri juga telah arahkan isu mafia korporat ini disiasat oleh Peguam Negara," katanya.
Pada masa sama, beliau berpendapat, isu mafia korporat ini bukanlah sebagai satu taktik mengalih perhatian orang ramai mengenai isu Nik Nazmi.
Dalam isu Nik Nazmi katanya, ia nampaknya seperti Rafizi cuba menjarakkan dirinya dan parti bersama daripada liabiliti yang timbul daripada isu Nik Nazmi.
"Isu mafia korporat ini juga telah dijelaskan oleh Perdana Menteri di dalam Parlimen dan oleh Menteri Komunikasi dan sepatutnya semua pihak gembira dengan tindakan kerajaan ini.
"Kita semua harus faham bahawa penyiasatan berkaitan isu mafia korporat ini adalah sangat sukar disebabkan tiada pengadu dan hanya berbentuk responsif terhadap hal yang tular.
"Isu ini juga melibatkan isu teknikal saham dan syarikat dan sudah pasti melibatkan dokumen yang banyak untuk dibuktikan," katanya.
Katanya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan yang dikaitkan dengan wang RM9.5 juta juga telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi dan begitu juga dengan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.