KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia memulakan minggu urus niaga pada pagi Isnin dengan lebih positif untuk dibuka tinggi, sejajar dengan prestasi di Wall Street dan pasaran minyak.

Pada pukul 9.08 pagi, indeks penanda aras FBM KLCI meningkat 5.03 mata kepada 1,620.72 berbanding 1,615.69 ketika ditutup pada petang Jumaat.

Indeks utama dibuka 3.93 mata lebih tinggi pada 1.619.62.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 393 berbalas 208 manakala 353 kaunter tidak berubah, 1,241 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 768.51 juta unit bernilai RM347.62 juta.

Malacca Securities menjangkakan kaunter komoditi dan minyak/gas akan meningkat memandangkan minyak sawit mentah telah mencapai paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun, sementara minyak mentah Brent pula terus berlegar untuk menghampiri paras US$70 setong.

Secara keseluruhan, sentimen pasaran di bursa tempatan akan tetap berhati-hati menjelang Mesyuarat Rizab Persekutuan AS akan datang yang dijangka mengumumkan keputusan mengenai kadar faedah.

"Walaupun indeks utama mungkin diniagakan dalam mod berhati-hati, peniaga masih lagi memantau saham-saham bertemakan pemulihan seperti sektor pengguna, perbankan dan pembinaan di celah-celah penurunan kes harian COVID-19 yang kini berada di bawah tahap 2,000," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, sektor teknologi menyaksikan penyusutan sederhana dalam urus niaga awal selepas mencatatkan peningkatan selama empat hari berturut-turut berikutan kerugian dicatatkan dalam dagangan semalaman di Nasdaq.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, PetChem naik 11 sen kepada RM8.38 sementara Maybank, CIMB dan Press Metal masing-masing menambah enam sen kepada RM8.46, RM4.53 dan RM10.12.

Top Glove mengukuh empat sen kepada RM5.24 tetapi Public Bank, IOI dan TM masing-masing turun satu sen kepada RM4.31, RM4.22 dan RM6.02.

Antara kaunter paling cergas, GFM Services menyusut 3.5 sen kepada 43.5 sen, Dynaciate naik setengah sen kepada 15.5 sen, Dagang Nexchange meningkat empat sen kepada RM1.01 dan Lambo tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 21.53 mata kepada 11,893.66, FBMT 100 meningkat 27.57 mata kepada 11,566.44 dan FBM Emas Syariah lebih tinggi sebanyak 28.49 mata kepada 13,164.49.

Indeks FBM 70 pula bertambah 4.95 mata kepada 15,656.95 dan FBM ACE turun 36.65 mata kepada 10,628.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkembang 57.20 mata kepada 15,607.06 dan Indeks Perladangan meningkat 22.23 mata kepada 7,159.01 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.42 mata kepada 193.52.

- BERNAMA