KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum positifnya bagi hari dagangan keempat berturut-turut dengan indeks utama meningkat 1.05 peratus, mendapat rangsangan daripada belian dalam saham perbankan.

Public Bank dan CIMB melonjak 14 sen setiap satu masing-masing kepada RM4.34 dan RM5.39. Kedua-dua kaunter itu menyumbang gabungan 7.05 mata kepada indeks petunjuk pasaran.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.74 mata untuk ditutup tinggi kepada 1,415.10 daripada paras penutup 1,400.36 pada Selasa.

FBM KLCI dibuka tinggi naik 2.32 mata kepada 1,402.68, namun kemudiannya mencatatkan paras terendah intra hari pada 1,400.28, sebelum meningkat semula untuk ditutup tinggi pada hari ini.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung naik sedikit mengatasi kaunter rugi sebanyak 437 berbanding 426, manakala 382 kaunter tidak berubah, 1,117 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.23 bilion unit bernilai RM1.72 bilion daripada 2.40 bilion unit bernilai RM1.71 bilion pada Selasa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan optimis dalam berhati-hati memandangkan sentimen yang meningkat di pasaran serantau tetapi para pelabur akan terus berwaspada disebabkan peningkatan kemeruapan pasaran.

"Kami percaya FBM KLCI akan meneruskan aliran meningkatnya kerana penilaian masih kekal rendah dan menaikkan sasaran kami bagi minggu ini kepada jajaran 1,400-1,430. Paras ketahanan segera dilihat pada 1,430 manakala paras sokongan pada 1,400," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM8.55, Petronas Chemicals naik lapan sen kepada RM8.63, IHH Healthcare menokok 13 sen kepada RM6.10 manakala TNB turun enam sen kepada RM8.14.

Dalam kalangan kaunter cergas, UEM Sunrise menokok satu sen kepada 20 sen, Bintai Kinden meningkat setengah sen kepada 9.5 sen, Top Glove turun 1.5 sen kepada 72.5 sen, Hiap Huat susut tiga sen kepada 13 sen, Careplus berkurangan dua sen kepada 40.5 sen dan Eduspec jatuh setengah sen kepada satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat sebanyak 69.07 mata kepada 10,043.97, FBM 70 berkurangan 48.53 mata kepada 11,957.62 dan Indeks FBMT 100 menokok sebanyak 68.97 mata kepada 9,790.72.

Indeks FBM Emas Shariah naik 10.16 mata kepada 10,044.94 dan FBM ACE susut 28.22 mata kepada 4,724.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 284.65 mata kepada 16,177.98, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.59 mata kepada 172.45, Indeks Perladangan menambah 61.45 mata kepada 6,678.12, manakala Indeks Tenaga jatuh 7.33 mata kepada 663.44.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.38 bilion saham bernilai RM1.49 bilion daripada 1.47 bilion saham bernilai RM1.40 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran turun kepada 292.83 juta unit bernilai RM48.01 juta daripada 300.37 juta unit bernilai RM47.67 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 561.51 juta saham bernilai RM175.52 juta daripada 633.53 juta saham bernilai RM260.03 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 170.80 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (364.16 juta), pembinaan (41.35 juta), teknologi (170.40 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (67.95 juta), hartanah (177.52 juta), perladangan (46.47 juta), REITs (7.08 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (88.62 juta), penjagaan kesihatan (186.75 juta), telekomunikasi dan media (21.06 juta), pengangkutan dan logistik (25.62 juta) dan utiliti (11.79 juta).

-- BERNAMA