KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) terus komited menghargai rakan kongsi industri yang menyokongnya sebagai penyedia jaminan tradisional dan rakan kongsi penuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sempena Sambutan Jubli Emas CGC, pada Jumaat. 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, usaha proaktif CGC membantu PMKS sejak ditubuhkan pada 1972 wajar menjadi contoh dalam terus memangkin kemajuan serta mengembangkan perniagaan PMKS secara menyeluruh.

“Majlis anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf pelanggan perusahaan kecil sederhana (PKS) yang mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai skim kewangan CGC namun juga mengiktiraf komitmen FI/DFI terhadap peraturan CGC sebagai pemain utama kepada ekosistem tambahan kredit.

"Sejak penubuhannya, CGC telah berjaya membantu kira-kira satu pertiga daripada PKS berdaftar dengan cagaran dan rekod prestasi yang mencukupi untuk mendapatkan pembiayaan. Hasilnya, kini banyak PKS telah berkembang untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara. Syabas CGC,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah CGC FI/DFI dan PKS 2021 Ke-27.

Tengku Zafrul (tengah) bersama para pemenang.


Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, sebanyak 31 anugerah telah disampaikan kepada PMKS yang cemerlang sewaktu majlis berkenaan.

Katanya, antara kategori anugerah yang disampaikan termasuk Anugerah TPUB-i Exemplary Customer, Anugerah Merdeka, Anugerah Top Rebate Customer, Anugerah Top Graduate Customer dan Anugerah Non-FI Partner.

“Tengku Zafrul sebentar tadi telah menganugerahkan sebanyak 17 anugerah kepada bank-bank yang menyokong perkembangan PMKS di Malaysia.

“Untuk PKS Malaysia, kita juga memberi anugerah kepada PKS yang berjaya yang mana kita ada sebanyak 14 penerima anugerah daripada mereka yang berjaya di dalam perniagaan mereka. Ini merupakan anugerah buat mereka menerusi Tabung Projek Usahawan Bumiputera- i (TPUB-i), ”  katanya.

Terdahulu, turut dilancarkan CGC100 yang merupakan program keusahawanan belia hasil kerjasama antara CGC dan Yayasan PINTAR.

Anugerah CGC | Hargai pelanggan, PMKS cemerlang urus kewangan

*Artikel ini adalah kandungan berbayar