BISNES
China bantu perkukuh tenaga mahir automotif anak tempatan - PM Anwar

Anwar berkata, kerjasama strategik dengan China dapat membantu syarikat pelabur menghasilkan produk, serta memberi ruang luas kepada jurutera dan tenaga mahir Malaysia untuk menguasai teknologi terkini. - Gambar/ Amanz
TANJUNG MALIM: Kesediaan China memindahkan teknologi kepada Malaysia bakal melonjakkan keupayaan negara serta memperkasa anak tempatan dalam industri automotif dan kenderaan elektrik (EV).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil beberapa siri pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping dan Premier Li Qiang di Beijing, baru-baru ini membuktikan komitmen bukan sahaja dalam bentuk pelaburan, tetapi juga melalui pemindahan teknologi yang memberi manfaat langsung kepada tenaga mahir tempatan khususnya di Tanjung Malim.
“Ini melampaui harapan kita untuk menjadi pengeluar dan memperoleh kekuatan teknologi.
“Biasanya, syarikat menghadapi kesukaran dalam soal pemindahan teknologi atau mewujudkan pusat kecemerlangan.“Tetapi kali ini, kesediaan mereka terbukti kerana bukan sekadar hasil daripada kerjasama industri, malah peluang diberikan kepada anak-anak kita untuk menjadi jurutera yang lebih mahir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Peluncuran Kilang EV Proton di sini, pada Khamis.
Anwar turut menegaskan, kerjasama strategik itu bukan sahaja membantu syarikat pelabur menghasilkan produk, malah memberi ruang luas kepada jurutera dan tenaga mahir Malaysia untuk menguasai teknologi terkini.
“Ini hasil kerjasama erat dengan kerajaan China, yang tidak hanya melabur tetapi turut menyediakan peluang pembangunan bakat tempatan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri lagi, inisiatif berkenaan juga seiring dengan dasar industri negara yang menekankan peningkatan teknologi dari peringkat awal sehingga keupayaan penghasilan sendiri.
“Kalau kita lihat sejarah, pada 1980-an hingga awal 2000-an, kita tidak mampu menguasai teknologi ini kerana kerjasama yang ada ketika itu tidak memberi ruang besar kepada pemindahan teknologi.
“Hari ini, kita mampu melaksanakan dasar itu dengan lebih berkesan. Tahniah kepada rakyat, terutama anak muda, jurutera dan profesional yang kini berada di barisan hadapan industri berteknologi tinggi,” katanya.
[BERITA LANJUT MENYUSUL]
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami