Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Christoph Mueller akan meninggalkan syarikat itu pada September 2016, lebih awal dari pengakhiran kontrak tiga tahun beliau.

Difahamkan ini adalah atas permintaan Mueller sendiri atas sebab-sebab peribadi.

Mueller akan menjalani tempoh notis beliau selama enam bulan hingga September.

Lembaga Pengarah MAB dilaporkan telah memulakan carian untuk Ketua Pegawai Eksekutif baharu dengan pencarian dilakukan dalam kalangan calon dalaman dan luaran.

Mueller juga menyatakan hasrat beliau untuk kekal sebagai Pengarah Bukan Eksekutif syarikat penerbangan itu.

"Kami amat kecewa atas kehilangan Christoph sebagai CEO, namun kami memahami alasan beliau dan menghormati keperluannya dalam mengambil keputusan ini," kata Pengerusi MAB, Tan Sri Md Nor Yusof.

"Bagi pihak Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan kakitangan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Christoph atas sumbangan besar beliau terhadap penstrukturan semula Malaysia Airlines," kata Md Nor yang menambah usaha Mueller telah meletakkan MAB di landasan yang betul.

Md Nor menambah, semua projek dan perancangan yang dibuat Mueller akan diuruskan oleh beliau sepenuhnya sehingga hari terakhir perkhidmatan.

Mueller menggantikan Ahmad Jauhari Yahya sebagai Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB pada 1 Mei 2015.

"Saya bangga dengan apa yang telah dicapai sebagai satu pasukan dalam masa yang singkat dan kerja keras semua pekerja kami sudah menunjukkan tanda-tanda kejayaan," kata Mueller.

"Saya tidak sabar untuk meneruskan tugas eksekutif saya untuk enam bulan lagi.

"Malangnya, keadaan peribadi menyukarkan saya untuk berkhidmat sepanjang tempoh sepenuhnya," katanya.

Mueller menambah bahawa beliau yakin MAB kini berada di landasan yang betul untuk berjaya dalam fasa pertumbuhan seterusnya di bawah ketua pegawai eksekutif baharu.