Courts (Malaysia) Sdn Bhd yakin akan memperoleh keuntungan tambahan daripada penjualan barangan elektronik seperti komputer dan telefon bimbit serta barangan elektrik dengan pembukaan beberapa cawangan baharunya di seluruh negara pada tahun ini.

Pengarahnya Allard Sjollema berkata syarikat kini memperluaskan aktiviti jualan daripada hanya menumpukan kepada perabot pada masa ini kepada barangan elektronik yang didapati mendapat sambutan di lebih 90 cawangan di seluruh negara.

Beliau berkata pembukaan cawangan baru Courts di Bandar Jerteh Jumaat merupakan yang ketiga di negeri ini selepas Dungun dan Kuala Terengganu.

"Buat masa ini, terdapat sebanyak sembilan cawangan Courts di kawasan pantai timur dengan rancangan penambahan setiap sebuah cawangan baru akan dibuka dalam tempoh dua bulan mulai tahun ini," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan cawangan Jerteh di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 1,200 jenis barangan elektronik termasuk telefon bimbit, komputer, barangan elektrik dan perabot ditawarkan pada harga yang berpatutan di cawangan Jerteh.