Meskipun pelaksanaan cukai sebanyak 10 peratus ke atas minuman bergula dapat menambah hasil kerajaan namun industri minuman ringan dijangka akan mengalami kerugian akibat pengurangan permintaan, kata seorang pakar ekonomi.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari berkata pelaksanaan cukai itu menyaksikan hasil kerajaan bertambah dianggarkan sebanyak RM156 juta tetapi industri minuman akan merekodkan kerugian sebanyak RM546 juta.

Selain itu, beliau juga menjangkakan pengurangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM291 juta dan seramai 3,221 orang akan kehilangan pekerjaan akibat daripada pelaksanaan cukai soda itu.

"Pengurangan jualan turut memberi impak kepada industri-industri lain yang menjadi pembekal input secara langsung mahupun tidak langsung kepada industri minuman ringan.

"Kesan rantaian ini penting kerana industri minuman ringan merupakan salah satu industri di Malaysia yang mempunyai nilai rantaian bekalan yang strategik dengan industri-industri lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

VIDEO: Cukai soda rugikan ekonomi?

BACA: Cukai ke atas soda perlu atas faktor kesihatan - Tun M

Sebelum ini kerajaan mempertahankan pelaksanaan cukai soda yang disifatkan sebagai langkah tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan dapat menggalakkan gaya hidup lebih sihat.

Tambah Mohd Yusof, kajian daripada negara yang melaksanakan cukai soda seperti di Vietnam, Indonesia dan United Kingdom menunjukkan dapatan yang sama.

"Di Vietnam, kajian oleh Central Institute for Economic Management menganggarkan cukai soda meningkatkan cukai kerajaan sebanyak AS$8.46 juta tetapi ia turut menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak AS$52.6 juta.

"Di Indonesia, kajian oleh Institute for Economic and Social Research mendapati, walaupun cukai soda meningkatkan cukai sebanyak Rp. 590 bilion tetapi cukai nilai ditambah (bersamaan dengan GST di Malaysia) dan cukai korporat berkurangan masing-masing sebanyak Rp. 562.7 bilion dan Rp. 736.1 bilion."

Bahkan, kata beliau, tidak ada lagi kajian menunjukkan keberkesanan cukai soda ke atas kesihatan terhadap negara yang melaksanakan seperti di Finland dan Greece.

"Dapatan menunjukkan tiada bukti jelas cukai soda boleh menjadi alat dasar percukaian yang efektif dalam membendung masalah kesihatan.

"Di Finland, cukai soda telah dilaksanakan sejak 1940-an tetapi kadar obesiti di negara ini terus meningkat. Di Greece, kajian menunjukkan minuman soda bukanlah penyebab utama kepada obesiti," katanya.

BACA: Belanjawan 2019 perlu pendekatan baharu

BACA: Tidak perlu cukai soda, naikkan cukai ke atas rokok sahaja

Mohd Yusof berkata pengenalan cukai soda turut dibimbangi akan menyebabkan pengguna beralih kepada minuman bergula lain seperti teh tarik dan kesan penggantian dijangka akan lebih dominan apabila berlaku penurunan harga gula di pasaran.

Justeru, beliau berkata pelaksanaan cukai soda memerlukan kajian yang lebih teliti dengan dengan mengambil kira kesan tidak langsung kepada keseluruhan ekonomi.

"Walaupun pengenalan cukai soda meningkatkan hasil cukai, peningkatan ini mungkin tidak setimpal dengan kerugian yang ditanggung oleh ekonomi.

"Jika alasan faktor kesihatan menjadi matlamat kerajaan, langkah bukan cukai seperti pendidikan kepenggunaan dan program kesedaran adalah lebih baik yang boleh dipertimbangkan," tambahnya.