Skip to main content

Bisnes

Dasar percukaian perlu terus dimodenkan seiring ekonomi digital - Amir Hamzah

TB_AMIR HAMZAH AZIZAN CUKAI_AWANI
Amir Hamzah berkata justeru, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada kerangka cukai yang jelas, cekap dan diyakini sebagai antara tunjang penting kepada daya saing Malaysia. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu terus memodenkan pendekatan terhadap dasar dan pentadbiran cukai bagi memastikan sistem percukaian negara kekal relevan, cekap dan mampu menangani perubahan ekonomi yang semakin cenderung ke arah digital, saling berhubung serta kompleks.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata perkembangan model perniagaan baharu, transaksi rentas sempadan dan perubahan dalam landskap cukai antarabangsa memerlukan kerajaan menyesuaikan dasar serta pentadbiran cukai secara berterusan.

Jelas beliau, usaha pendigitalan dan pemodenan sistem percukaian turut menunjukkan hasil positif, dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip cukai tambahan sebanyak RM1.009 bilion sejak pelaksanaannya, manakala lebih 52,000 pembayar cukai tampil membuat pengakuan sukarela pendapatan mereka.

"Malaysia telah bertindak balas secara proaktif terhadap perkembangan ini. Melalui reformasi berterusan dan inisiatif digitalisasi, kita sedang mengukuhkan ketelusan, kecekapan dan integriti ekosistem cukai bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan menarik sebagai destinasi pelaburan," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Abu Tariq Jamaluddin.

Berucap lanjut, Amir Hamzah sistem hasil yang cekap, saksama dan diyakini merupakan antara asas penting dalam memastikan kedudukan fiskal negara kekal kukuh.

Selain itu, katanya percukaian bukan sahaja berfungsi sebagai sumber hasil kerajaan, malah sistem cukai yang berkesan mampu meningkatkan keyakinan terhadap institusi awam, serta menyokong kestabilan ekonomi.

"Ini menunjukkan bahawa pendekatan yang lebih moden, telus dan berkesan dalam pentadbiran cukai dapat meningkatkan pematuhan serta memperkukuh kutipan hasil negara," katanya.

Beliau berkata pada 2026, hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan mencecah RM343.1 bilion dan hasil berkenaan akan disalurkan bagi menyokong pelaburan dalam sektor penting termasuk pendidikan, kesihatan, infrastruktur, keselamatan serta program perlindungan sosial.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan komited mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan, inovasi dan keusahawanan menerusi pelbagai dasar strategik termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi nasional bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh industri domestik, mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai serantau dan global.

"Sistem cukai yang moden dan berkesan memainkan peranan penting dalam menyokong cita-cita ini. Para pelabur mencari kepastian dan perniagaan menghargai konsistensi, manakala pasaran bertindak balas positif terhadap ketelusan dan tadbir urus yang baik," katanya.

Amir Hamzah berkata justeru, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada kerangka cukai yang jelas, cekap dan diyakini sebagai antara tunjang penting kepada daya saing Malaysia.

Menurut beliau, perkembangan global kebelakangan ini membuktikan negara yang mempunyai institusi kukuh, tadbir urus mantap dan kewangan awam mampan berada pada kedudukan lebih baik untuk menghadapi ketidaktentuan, menangani krisis serta merebut peluang baharu.

Must Watch Video

Advertisement