Skip to main content

Bisnes

DEFA pacu pertumbuhan ekonomi digital ASEAN

Roque berkata hasil mesyuarat AEC tahun ini akan memperluas peluang perniagaan, memperkukuh daya tahan serantau serta memberikan manfaat nyata kepada rakyat, khususnya ketika berdepan pelbagai cabaran. - Gambar Bernama
Roque berkata hasil mesyuarat AEC tahun ini akan memperluas peluang perniagaan, memperkukuh daya tahan serantau serta memberikan manfaat nyata kepada rakyat, khususnya ketika berdepan pelbagai cabaran. - Gambar Bernama
Advertisement

MANILA: Ekonomi digital ASEAN yang kini dianggotai 11 negara terus mendapat momentum susulan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Dalam taklimat di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pasay City pada Isnin, Setiausaha Perdagangan dan Industri Filipina Ma. Cristina Roque berkata pemeteraian DEFA oleh menteri-menteri ASEAN pada 14 Nov merupakan antara pencapaian penting Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-28.

Roque berkata hasil mesyuarat AEC tahun ini akan memperluas peluang perniagaan, memperkukuh daya tahan serantau serta memberikan manfaat nyata kepada rakyat, khususnya ketika berdepan pelbagai cabaran.

Advertisement

Beliau berkata DEFA akan membantu blok serantau itu memperkukuh ekonomi digitalnya dalam menghadapi perkembangan global, selain membuka lembaran baharu kerjasama serantau yang merapatkan hubungan ekonomi, memperluas manfaat dan perdagangan melangkaui sempadan fizikal serta meningkatkan daya saing rantau itu dalam dunia yang semakin berteraskan digital.

"Di bawah kepimpinan Presiden Ferdinand R. Marcos Jr., Filipina berbesar hati kerana dapat memperjuangkan DEFA sebagai antara keutamaan ekonomi utama sepanjang kepengerusian ASEAN 2026.

Advertisement

"DEFA merupakan pencapaian penting bukan sahaja bagi ASEAN, tetapi juga ekonomi digital global.

“Sebagai perjanjian ekonomi digital pertama seumpamanya di dunia, ia meletakkan ASEAN di barisan hadapan dalam usaha membina masa depan digital yang lebih saling berhubung, dipercayai dan inklusif," kata beliau.

Ekonomi digital bersepadu ASEAN yang dianggarkan bernilai US$1 trilion dijangka meningkat dua kali ganda kepada US$2 trilion menjelang 2030.

Roque berkata perjanjian itu bukan sekadar bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut menyediakan peraturan, sistem dan kerjasama yang diperlukan bagi membolehkan semua pihak mengambil bahagian dalam pertumbuhan berkenaan.

"Pada asasnya, DEFA menyediakan rangka kerja bersama bagi mewujudkan pasaran digital ASEAN yang lebih lancar, selamat dan saling berhubung.

"Ia merangkumi bidang kerjasama utama termasuk perdagangan digital dan e-dagang rentas sempadan bagi memudahkan perniagaan menawarkan barangan serta perkhidmatan di seluruh pasaran ASEAN," kata beliau.

Dalam aspek pembayaran elektronik, perjanjian itu akan memastikan urus niaga dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, cekap dan dipercayai.

Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula akan mendapat akses kepada lebih banyak pasaran menerusi urus niaga yang selamat dan dilindungi.

Bagi golongan pekerja, DEFA akan membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang termasuk e-dagang, perkhidmatan digital dan industri kreatif.

"Kerajaan perlu bekerjasama bagi menyediakan dasar, infrastruktur dan sistem yang diperlukan.

"Kepada rakan sektor swasta, kami mengiktiraf peranan penting anda dalam memastikan perjanjian ini berjaya dilaksanakan.

“DEFA menyediakan rangka kerja yang diperlukan, namun pelaburan, inovasi, teknologi dan inisiatif keusahawanan andalah akan merealisasikannya.

"Hari ini, kita telah meletakkan asas kepada ekonomi digital ASEAN yang lebih bersepadu. Seterusnya, kita perlu bekerjasama untuk memastikan ia menjadi kenyataan bagi setiap perniagaan, pekerja dan rakyat.

"Bersama-sama, marilah kita membina ekonomi digital ASEAN yang saling berhubung, berdaya saing, dipercayai dan inklusif, tanpa meminggirkan sesiapa," kata beliau.

-- BERNAMA-PNA

Must Watch Video

Advertisement