Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup tinggi akhiri penurunan lima hari berturut-turut

Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 5.44 mata atau 0.34 peratus kepada 1,588.03 daripada paras penutup 1,582.59 pada Jumaat minggu lepas. - Gambar fail/Bernama
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 5.44 mata atau 0.34 peratus kepada 1,588.03 daripada paras penutup 1,582.59 pada Jumaat minggu lepas. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin mengakhiri penurunan lima hari berturut-turutnya, disokong oleh aktiviti membeli saham mewah terpilih, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.44 mata atau 0.34 peratus kepada 1,588.03 daripada paras penutup 1,582.59 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 6.69 mata kepada 1,575.90 dan bergerak antara paras 1,572.55 hingga 1,593.02 sepanjang sesi dagangan.

Advertisement

Bagaimanapun, suasana pasaran masih negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 673 berbanding 375, manakala 522 kaunter tidak berubah, 1,214 kaunter tidak diniagakan dan 16 kaunter digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.76 bilion unit bernilai RM2.33 bilion daripada 2.84 bilion unit bernilai RM2.36 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Advertisement

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kedudukan FBM KLCI yang menghampiri zon terlebih jual, ditambah pula dengan penilaian yang semakin menarik, mungkin menggalakkan aktiviti membeli saham pada harga rendah, khususnya bagi saham mewah yang mempunyai asas kukuh serta menawarkan dividen mampan.

“Para pelabur juga akan memantau pengumuman data ekonomi Malaysia, minit mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) serta pendapatan Nvidia Corp bagi mencari hala tuju baharu.

“Walaupun ketidakpastian luaran boleh memanjangkan lagi ketidaktentuan pasaran, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam jajaran 1,580–1,600 pada minggu ini, dengan pengumpulan saham secara selektif berkemungkinan memberikan sokongan,” katanya kepada Bernama.

 Sementara itu, ketua penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata bursa tempatan menunjukkan petanda peralihan menuju kepada kemungkinan lantunan semula teknikal. 

“Paras rintangan terdekat berada pada 1,600 hingga 1,616 mata, manakala paras sokongan pula dilihat berada pada 1,576 dan 1,560 mata,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM9.98, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.55, CIMB meningkat lapan sen kepada RM7.16, manakala IHH Healthcare meningkat tiga sen kepada RM7.96. Bagaimanapun, Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM12.74.

Dalam kalangan saham aktif, GIIB Holdings meningkat lima sen kepada 18 sen, Ni Hsin naik 2.5 sen kepada 12.5 sen, Sime Darby menambah lapan sen kepada RM2.56. Bagaimanapun, MMAG susut setengah sen kepada 2.5 sen manakala Zetrix AI kekal tidak berubah pada enam sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Nestle melonjak RM1.42 kepada RM94.42, Malaysian Pacific Industries naik 40 sen kepada RM37.60, Mega Fortris meningkat 37 sen kepada RM1.61, Fraser & Neave menambah 32 sen kepada RM20.10 manakala Kuala Lumpur Kepong menokok 24 sen kepada RM21.10.

Dalam kalangan saham paling rugi UMS Integration mencatatkan penurunan 85 sen kepada RM6.15, MN Holdings turun 21 sen kepada RM3.36, New Hoong Fatt Holdings berkurangan 19 sen kepada RM1.14 manakala Allianz Malaysia dan Solarvest Holdings susut 18 sen masing-masing kepada RM19.10 dan RM3.90.

Di keseluruhan pasaran, Indeks FBM Emas meningkat 24.66 mata kepada 11,761.55 dan Indeks FBM Top 100 menambah 26.08 mata kepada 11,597.73.

Indeks FBM Emas Shariah menokok 23.76 mata kepada 11,703.44, Indeks FBM ACE susut 58.29 mata kepada 5,004.85 manakala Indeks FBM Mid 70 turun 20.02 mata kepada 16,763.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 27.36 mata kepada 18,539.56, Indeks Perladangan naik 54.89 mata kepada 8,850.96, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.14 mata kepada 169.95 dan Indeks Tenaga turun 5.92 mata kepada 777.15.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.30 bilion unit bernilai RM2.08 bilion daripada 1.32 bilion unit bernilai RM2.06 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 594.27 juta unit bernilai RM61.95 juta daripada 744.65 juta unit bernilai RM83.84 juta sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 859.38 juta unit bernilai RM192.09 juta daripada 774.69 juta unit bernilai RM217.13 juta. 

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 225.41 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (272.28 juta), pembinaan (113.10 juta), teknologi (235.89 juta), perkhidmatan kewangan (77.84 juta), hartanah (79.78 juta), perladangan (32.24 juta), amanah pelaburan hartanah (11.22 juta), dana tertutup (84,400), tenaga (95.51 juta), penjagaan kesihatan (70.25 juta), telekomunikasi dan media (20.69 juta), pengangkutan dan logistik (41.39 juta), utiliti (32.62 juta), serta amanah perniagaan (800).

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement