Skip to main content

Dunia

Guterres gesa kawalan terhadap 'robot pembunuh'

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres gesa ambil tindakan untuk mencegah penggunaan dan penyebaran senjata  berautonomi. - Reuters
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres gesa ambil tindakan untuk mencegah penggunaan dan penyebaran senjata berautonomi. - Reuters
Advertisement

GENEVA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin menggesa negara-negara merundingkan peraturan yang mengikat dari segi undang-undang mengenai senjata berautonomi, sambil memberi amaran tentang bahaya yang ditimbulkan oleh sistem yang boleh membunuh tanpa campur tangan manusia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Ambil tindakan untuk mencegah penggunaan dan penyebaran senjata tanpa belas kasihan ini," kata Guterres dalam mesej video sempena pembukaan mesyuarat 128 negara pihak kepada Konvensyen PBB Mengenai Senjata Konvensional Tertentu (CCW) di Geneva.

Sering dirujuk sebagai "robot pembunuh", senjata maut yang berautonomi sepenuhnya ini mampu mengenal pasti dan menjejaki sasaran serta melancarkan serangan maut tanpa campur tangan manusia.

Advertisement

Bagaimanapun, pakar berkata tiada bukti bahawa senjata sedemikian sudah digunakan dalam konflik.

Minggu ini, negara-negara pihak terbabit sedang membincangkan sama ada untuk memberikan kebenaran bagi mengadakan rundingan mengenai sekatan dan kemungkinan pengharaman sistem berkenaan. Keputusan dijangka dibuat menjelang Jumaat.

Advertisement

Banyak negara menyokong protokol yang mengikat dari segi undang-undang, namun negara yang mempunyai industri pertahanan besar, termasuk Amerika Syarikat (AS), Israel dan Rusia, menyuarakan keraguan.

"Saya menyeru anda supaya bergerak ke arah merundingkan instrumen yang mengikat dari segi undang-undang untuk mengawal selia sistem senjata berautonomi, termasuk larangan dan sekatan yang jelas," kata Guterres.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement