Skip to main content

Dunia

Pelakon terkenal Perancis Depardieu terima keputusan kes gangguan seksual 2025

DEPARDIEU: “Mahkamah membuat keputusan. Saya didapati bersalah. Saya memahami perkara ini dan bersedia memikul tanggungjawab." - Gambar fail
DEPARDIEU: “Mahkamah membuat keputusan. Saya didapati bersalah. Saya memahami perkara ini dan bersedia memikul tanggungjawab." - Gambar fail
Advertisement

MOSCOW: Pelakon terkenal Perancis Gerard Depardieu berkata pada Isnin beliau akan menarik balik rayuannya terhadap keputusan kes gangguan seksual yang dijatuhkan oleh sebuah mahkamah di Paris pada Mei 2025.

“Mahkamah membuat keputusan. Saya didapati bersalah. Saya memahami perkara ini dan bersedia memikul tanggungjawab,” kata Depardieu dalam satu kenyataan yang dipetik saluran berita BFMTV, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pelakon itu turut memohon maaf kepada mereka yang mungkin terkesan akibat tindakannya, sambil mengakui bahawa beliau pernah berselindung di sebalik tingkah laku provokatif dan keterlaluan di lokasi penggambaran kerana menyangka perbuatannya tidak akan membawa sebarang akibat.

Advertisement

Depardieu berkata beliau tidak pernah berniat untuk menyakiti mana-mana wanita yang ditemuinya sepanjang hayat.

“Kisah ini menyebabkan banyak penderitaan. Saya tidak mampu memutar kembali masa. Saya sedar  saya berasal daripada dunia yang sudah hilang. Oleh itu, saya memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan,” katanya.

Advertisement

Pada Mei 2025, sebuah mahkamah di Paris mendapati Depardieu bersalah atas kesalahan mengganggu anggota kru filem The Green Shutters dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan yang digantung pelaksanaannya.

--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement