Skip to main content

Sukan

Lukaku umum persaraan daripada arena antarabangsa

LUKAKU: “Saya berasa tenang dengan keputusan untuk menamatkan perjalanan ini. Ia satu pengalaman yang luar biasa." - Gambar fail
LUKAKU: “Saya berasa tenang dengan keputusan untuk menamatkan perjalanan ini. Ia satu pengalaman yang luar biasa." - Gambar fail
Advertisement

BRUSSELS: Penyerang Belgium Romelu Lukaku mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa, sehari selepas pasukannya mencatat kemenangan 4-1 ke atas Itali dalam saingan Liga Negara-Negara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Penyerang Fenerbahce itu tidak diturunkan dan hanya memanaskan bangku simpanan ketika kemenangan itu yang membantu Belgium layak ke suku akhir.

“Saya berasa tenang dengan keputusan untuk menamatkan perjalanan ini. Ia satu pengalaman yang luar biasa,” kata pemain berusia 33 tahun itu menerusi Instagram pada Isnin.

Advertisement

“Sepanjang 16 tahun ini, saya memberikan segala-galanya untuk pasukan kebangsaan ... saya melalui pelbagai emosi yang mungkin dirasai,” katanya.

Lukaku membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Belgium, yang dikenali sebagai Red Devils, pada 2010 ketika berusia 16 tahun.

Advertisement

Dengan rekod 94 gol dalam 135 penampilan, beliau muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan kebangsaan lelaki Belgium.

Lukaku merupakan sebahagian daripada generasi emas Belgium bersama Kevin De Bruyne dan Eden Hazard namun mereka gagal menjulang sebarang trofi utama di peringkat antarabangsa.

Pencapaian terbaik mereka ialah menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia 2018 di Rusia.

Bekas penyerang Chelsea dan Inter Milan itu beraksi dalam empat edisi Piala Dunia (2014, 2018, 2022 dan 2026) serta tiga edisi Kejohanan Eropah (2016, 2021 dan 2024).

Jurulatih Belgium Mark van Bommel berkata dalam satu kenyataan: “Kami menghormati keputusan Romelu. Walaupun saya hanya berpeluang bekerja dengannya dalam tempoh yang agak singkat, saya  membina rasa hormat yang amat tinggi terhadap beliau sebagai seorang individu, keperibadiannya dan kepimpinannya.”

--BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement