KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Destini Bhd, Destini Prima Sdn Bhd, memperoleh dua kontrak daripada Kementerian Pertahanan bernilai RM89 juta untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan membekalkan peralatan kepada tentera.

"Penganugerahan dua kontrak itu akan mengukuhkan kedudukan Destini dalam industri penerbangan pertahanan kerana keupayaan syarikat terus diiktiraf oleh kementerian dan sekutunya.

"Mengenai masa depan, Destini yakin ia akan dapat berkembang secara mampan pada tahun ini dan seterusnya," menurut kumpulan itu dalam kenyataan hari ini.

Kontrak pertama merupakan lanjutan daripada kontrak sedia ada, iaitu menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, membaiki dan membaik pulih (MRO) serta membekalkan peralatan berkaitan keselamatan dan kelangsungan hidup untuk Tentera Udara Diraja Malaysia.

Kontrak tersebut akan tamat pada Oktober 2022 dan mempunyai nilai siling kira-kira RM88.0 juta, menurut kumpulan itu.

Sementara itu, katanya kontrak kedua turut menyediakan perkhidmatan MRO dan membekalkan peralatan berkaitan keselamatan dan kelangsungan hidup untuk Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia bagi tempoh tiga tahun akan datang dengan nilai kontrak RM0.99 juta.

-- BERNAMA