Dua lagi pusat barangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Mara Digital akan dibuka pertengahan tahun ini, iaitu di Anggerik Mall, Shah Alam dan Glomac Mall, Damansara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mara Digital juga akan diperluaskan ke luar Lembah Kelang dengan Johor Bahru sebagai destinasi pertamanya.

Jelasnya, selain Johor Bahru, negeri lain iaitu Melaka dan Terengganu akan menjadi destinasi seterusnya bagi memberi peluang khsusunya bumiputera melibatakan diri dalam pasaran ICT.

Mara Digital yang akan dibuka di negeri lain itu bergantung kepada kesiapsiagaan pejabat MARA negeri bagi menaiktaraf beberapa bangunannya terlebih dahulu.

"Kita akan bukan Mara Digital di Anggerik Mall, Selangor dan kita juga telah mengenalpasti satu lagi tempat iaitu di Damansara untuk kita buka. Pada tahun ini juga, kita akan melihat ke negeri lain supaya kita boleh buka Mara Digital di negeri lain dan seterusnya ke seluruh negara", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Mara Digital di Menara Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, ibu negara di sini.

Dalam pada itu katanya, setiap Mara Digital juga akan dilengkapi pusat aduan pelanggan bagi memudahkan aduan atau laporan penipuan dibuat.

"Banyak pelanggan yang risau urusan selepas pembelian. Dengan adanya pusat aduan ini, setiap laporan yang diterima akan diatasi dengan serius dan membolehkan ia diselesaikan dengan kadar segera," katanya.

Beliau juga turut memberi jamian bahawa barangan telekomunikasi yang dijual di Mara Digital adalah tulen.

Kementeriannya telah melantik pembekal WGN Scan bagi memastikan produk yang dijual di premis berkenaan tidak diragui statusnya.

"Ada dua jenis produk di sini. Satu yang dibekalkan oleh WGN maknanya peniaga-peniaga di sini mengambil produk daripada WGN.

"Yang kedua, mana-mana produk yang diambil dari luar sama ada diimport dari sumber mereka juga perlu membawa kepada WGN untuk disahkan ketulenan dan sebagainya," katanya.