KUALA LUMPUR: Demo Store Dyson di Tun Razak Exchange (TRX) yang baharu dilancarkan semalam bakal membuka pasaran lebih luas untuk produknya.

Jurutera Kanan Termal dan Dinamik Bendalir di Dyson Global Development Centre yang berpangkalan di Senai, Johor, Dominica Khoo berkata ruang Demo Store berkeluasan 1,076 kaki persegi di The Exchange TRX akan menawarkan pengalaman baharu kepada pelanggannya.

“Kami mahu lebih dekat dengan pelanggan kami. Ia tidak seperti kedai Dyson yang lain kerana kami hanya mahu membuka pintu kami ke pasaran yang berbeza bukan sahaja untuk pelanggan daripada golongan mewah.

“Pelanggan boleh mencuba produk kami dan mendapatkan yang terbaik daripada produk kami. Kami mempunyai pakar di kedai berkenaan (Demo Store) yang boleh menunjukkan kepada pelanggan cara mereka boleh menggunakan dan mendapatkan yang terbaik daripada sesuatu produk,” katanya pada majlis pelancaran tersebut, di sini.

Demo Store itu membentuk sebahagian daripada pemacu global Dyson untuk mengembangkan cita-citanya menerusi pendekatan terus kepada pengguna dan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk teknologi yang berprestasi lebih baik di Kuala Lumpur.

Dyson adalah syarikat penyelidikan dan teknologi global dengan operasi kejuruteraan, penyelidikan, pembangunan, pembuatan dan ujian di Singapura, United Kingdom, Malaysia dan Filipina.

-- BERNAMA