BUDAPEST: Pembangkang Hungary menzahirkan rasa terkejut pada Sabtu selepas pihak berkuasa antirasuah negara itu memaklumkan bahawa wang tunai bernilai €17.7 juta (AS$16.1 juta) ditemukan di dalam lubang yang digali di tanah, gudang dan peti besi di beberapa kawasan di seluruh negara ketika menjalankan siasatan terhadap seorang bekas menteri, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pihak berkuasa antirasuah NVVH memberitahu agensi berita MTI pada Jumaat bahawa penyiasat menemukan wang tunai itu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap anggota Parlimen pembangkang Miklos Sesztak, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan ketika penggal ketiga pentadbiran bekas Perdana Menteri Viktor Orban.
Menurut NVVH, wang itu ditemukan di Budapest dan kawasan sekitarnya serta di utara dan tenggara negara berkenaan.
Pihak berkuasa itu turut menyiarkan video yang menunjukkan pegawai merampas beberapa ikat wang kertas euro, dolar dan forint yang disyaki diperoleh secara haram.
Pada Sabtu, ketua kumpulan Parlimen parti Fidesz pimpinan Orban, Janos Boka, menggesa Sesztak melepaskan kerusinya di Parlimen.
Orban pula memberikan reaksi lebih tegas menerusi hantaran di Facebook dengan menulis: “Komuniti politik kami bukan seperti itu, kami bukan seperti itu, Fidesz bukan seperti itu.”
Sesztak, yang dianggap sebagai sekutu terpenting Orban di timur laut Hungary, ditahan pada September kerana disyaki terlibat dalam rasuah.
Lelaki berusia 58 tahun itu didakwa menyebabkan pengendali bas milik kerajaan, Volan, mengalami kerugian puluhan juta euro menerusi urusan perolehan bersama beberapa suspek lain ketika berkhidmat sebagai menteri antara 2014 hingga 2018.
-- BERNAMA-dpa