Ringkasan AI
- Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran mewajibkan WhatsApp mengesahkan nombor telefon pengguna bagi membendung penipuan melalui aplikasi tersebut.
- Seramai 61 individu disyaki terlibat sindiket penipuan, termasuk menyamar sebagai pegawai MCMC, telah ditahan dan akan dihadapkan ke mahkamah jika didapati bersalah.
- Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan mencurigakan dan segera melaporkan kepada PDRM, MCMC atau NSRC di talian 997.
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran mewajibkan WhatsApp mengesahkan nombor telefon yang dipautkan kepada akaun pengguna sebagai langkah membendung penyalahgunaan aplikasi berkenaan untuk kegiatan penipuan atau scam.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu turut menjadi perhatian di peringkat antarabangsa susulan kebimbangan beberapa negara terhadap penyalahgunaan WhatsApp bagi tujuan panggilan penipuan.
Menurutnya, perkara itu antara isu yang dibangkitkan dalam perbincangan di Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) baru-baru ini, dengan beberapa negara turut meneliti keperluan pengesahan identiti dan nombor telefon pengguna.
"Pihak Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran untuk mengenakan satu syarat kepada pihak WhatsApp, yang mana mereka perlu mengesahkan nombor telefon yang berpaut kepada akaun WhatsApp itu.
"Pada waktu ini, WhatsApp tidak menggunakan syarat pengesahan akaun. Tapi di beberapa negara, baru-baru ini di ITU, International Telecommunication Union, saya mendengar pandangan daripada banyak negara, mereka membangkitkan isu mengenai penyalahgunaan WhatsApp untuk tujuan scam call.
"Jadi, satu perkara yang banyak negara sedang teliti adalah membuat pengesahan identiti dan nombor telefon yang digunakan untuk akaun WhatsApp," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media Projek Rintis Sistem Keselamatan Warga Emas di Razak Mansion, ibu negara, pada Ahad.
Mengulas penahanan 61 individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket penipuan, termasuk menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Fahmi menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terbabit.
"Pertama, semua pelaku ini akan diberkas, ditangkap, ditahan, disiasat dan mereka yang disahkan telah melanggar undang-undang akan dihadapkan ke mahkamah," tambahnya.
Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai MCMC atau Kementerian Komunikasi.
Beliau menjelaskan, MCMC tidak akan menghubungi orang awam untuk memberi amaran mengenai penutupan talian telefon atau memaklumkan tunggakan bil, memandangkan urusan berkenaan merupakan tanggungjawab syarikat telekomunikasi (telco).
Tegasnya, Kementerian Komunikasi juga tidak membuat panggilan keluar bagi tujuan penguatkuasaan seperti yang sering didakwa sindiket penipuan.
"MCMC tidak akan telefon untuk memberi amaran menutup talian telefon. Rata-rata maklumat yang kita terima, orang mengadu MCMC telefon untuk maklumkan tunggakan bil telefon. MCMC tidak buat kerja itu. Itu adalah tugas syarikat telekomunikasi itu sendiri.
"Dan pihak Kementerian Komunikasi juga tidak sesekali membuat panggilan keluar untuk tujuan penguatkuasaan. Kementerian Komunikasi tidak terlibat dalam apa-apa tindakan penguatkuasaan seperti itu," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera menamatkan sebarang panggilan mencurigakan dan membuat laporan kepada PDRM, MCMC atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997.
Sementara itu, beliau berkata, MCMC sedang meneliti beberapa langkah teknikal tambahan di peringkat rangkaian bagi memperkukuh usaha membendung kegiatan penipuan.
Menurutnya, perubahan teknikal yang dilaksanakan MCMC sebelum ini berjaya mengekang panggilan menggunakan teknik penyamaran nombor telefon atau spoofing calls.
Bagaimanapun, sindiket penipuan kini beralih kepada kaedah berbeza, sekali gus mendorong keperluan untuk meneliti langkah tambahan bagi menangani taktik penipuan yang semakin berubah.
"Sebelum ini pihak MCMC telah melaksanakan satu perubahan teknikal yang telah mengekang apa disebut sebagai spoofing calls dan itu telah kita berjaya laksanakan.
"Tapi pihak scammer, mereka beralih kepada cara scam yang berbeza. Jadi ini kita nampak perlu beberapa tindakan tambahan, jadi di peringkat rangkaian beberapa perkara sedang diteliti," tambahnya.