KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berada dalam momentum yang baik untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada sekitar 4 hingga 5 peratus bagi tahun 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sentimen perbelanjaan pengguna lazimnya berada pada tahap melebihi purata pada suku keempat berbanding suku tahun lain.

"Suku keempat adalah tempoh pengguna akan berbelanja lebih daripada biasa untuk perbelanjaan buka sekolah, perbelanjaan tahun baharu, perayaan dan sebagainya apabila terdapat permintaan yang tinggi terhadap barangan.

"Permintaan merupakan komponen terbesar dalam KDNK. Oleh itu, kita menjangka ada ruang untuk melihat prestasi KDNK berkembang pada suku keempat nanti," katanya kepada Bernama sebelum ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini semalam.

Ditanya sama ada jangkaan KDNK pada suku keempat akan melebihi pencapaian suku ketiga, beliau berkata ia perlu dilihat dalam cerapan data.

Pada Oktober, katanya cerapan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) untuk sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik didapati meningkat, begitu juga perdagangan antarabangsa apabila lebihan dagangan turut meningkat.

Di samping itu, katanya kadar pengangguran turut dilihat semakin berkurangan dengan jumlah yang menganggur berada pada tahap 1.5 peratus.

"Justeru, untuk Oktober, data telah menunjukkan ekonomi Malaysia bergerak ke arah berkembang. Sehingga Januari, kita dapati aktiviti ekonomi pada November dan Disember juga, tidak ada keadaan yang nampak 'deprive' berikutan ekonomi terus menunjukkan jajaran berkembang.

"Jika kita menggabungkan ketiga-tiga suku awal, negara telah mencapai KDNK sebanyak 3.9 peratus. Oleh itu, saya menjangka pencapaian ekonomi negara akan terarah seperti yang telah disasarkan oleh kerajaan," katanya.

Menurut Bank Negara Malaysia, ekonomi negara berkembang sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 daripada 2.9 peratus pada suku kedua tahun tersebut manakala secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.9 peratus pada tiga suku pertama 2023.

Mengenai sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibuka bermula 2 Jan hingga 31 Mac, Mohd Uzir berkata setakat 8 malam pada 3 Jan, PADU telah merekodkan sebanyak 396,181 jumlah pengguna berdaftar.

Berdasarkan sambutan terhadap penggunaan PADU setakat ini, katanya beliau yakin sasaran untuk memastikan 29 juta warganegara Malaysia mendaftar akan dapat dicapai.

"Dalam memastikan tiada yang terkecuali untuk mendapat manfaat daripada pelaksanaan sistem itu, kerajaan akan turut mengadakan sesi libat urus bersama kepimpinan kerajaan negeri untuk mencapai sasaran ditetapkan," katanya.

Beliau berkata setakat ini, maklum balas yang diterima daripada Jabatan Perangkaan Negeri dan kakitangan di lapangan mengenai penerimaan sistem itu di kawasan luar bandar adalah positif dengan dibantu penjelasan daripada Jabatan Penerangan (JaPen).

-- BERNAMA