Ekonomi negara tumbuh memberangsangkan pada enam peratus pada 2014 melepasi unjuran awal sekitar 5.5 peratus.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata angka itu lebih kukuh berbanding suku ketiga 2014 pada 5.6 peratus dan 5.1 peratus pada suku keempat tahun lepas.

Permintaan domestik tumbuh 5.9 peratus suku keempat 2014 berbanding 4.9 peratus suku sebelumnya sementara penggunaan swasta tumbuh lebih kukuh pada 7.8 peratus pada suku sama sementara pelaburan swasta tumbuh 11.2 peratus.

“Pelaburan swasta akan terus tumbuh berdasarkan trend serta yang telah disusun malah trend pembiayaan juga semakin mneingkat,” katanya sewaktu membentangkan keputusan KDNK negara suku ke empat di sini, hari ini.

Bagi eksport pula, Zeti berkata ia tumbuh 1.5 peratus berbanding 2.8 peratus suku sebelumnya sementara import tumbuh 2.6 peratus berbanding 2.2 peratus suku sebelumnya.

Inflasi pula menyederhana kepada 2.8 peratus pada suku ke empat 2014 dan dijangka terus rendah disokong kelemahan harga minyak mentah dunia dan harga komoditi dunia.

“Kami sentiasa memerhati rapat terhadap pertumbuhan inflasi kerana wujud risiko pertumbuhan luar yang lemah," katanya.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) Malaysia pada 2014 juga mencatatkan nilai RM35.1 bilion berbanding RM38.2 bilion tahun sebelumnya.

Ringgit jatuh 11.9 peratus bermula 1 September 2014 hingga 10 Februari 2015. Semua matawang meleset berbanding dolar kerana kekukuhan matawang AS itu kerana tanggapan bahawa Rizab Persekutuan akan menaikan kadar faedah susulan pengukuhan ekonomi AS.

“Kelemahan itu tidak mengambarkan asas ekonomi negara kerana asas ekonomi negara masih kukuh dengan rizab asing yang tinggi dan hutang luar jangka pendek yang kebanyakannya adalah dominasi ringgit,” katanya.

Zeti berkata ekonomi negara dijangka tumbuh stabil dengan permintaan domestik menjadi pemacu utama selain kadar inflasi yang diramal rendah berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Justeru, bank pusat mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Hutang isi rumah pula berada pada 86 peratus berbnding KDNK dengan pertumbuhan sebanyak 9.9 peratus pada suku ke empat 2014.

Zeti berkata meskipun ia tinggi namun kadar hutang tidak berbayar (NPL) adalah rendah pada 1.2 peratus.