KUALA LUMPUR: Pencapaian ekonomi dijangka terus kukuh pada suku kedua 2022 didorong oleh langkah kerajaan membuka semula sempadan negara dan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembukaan semula sempadan dijangka dapat memulihkan sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sejak Mac 2020,
terutama kepada industri berkaitan termasuk penerbangan, penginapan dan hospitaliti.

Katanya, kerajaan menjangkakan ketibaan seramai 2 juta pelancong asing pada tahun ini yang akan menyumbang sebanyak RM8.6 bilion kepada ekonomi negara.


Bagaimanapun, menurut beliau, sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, negara masih berhadapan dengan risiko persekitaran luar yang mencabar, antaranya, jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini  yang lebih rendah seperti diunjurkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

"Selain itu, konflik Rusia-Ukraine yang telah berlarutan kira-kira 3 bulan menyebabkan berlakunya gangguan rantaian bekalan global serta peningkatan harga minyak mentah dan komoditi yang akan
memberi tekanan kepada kenaikan inflasi.

"Pada masa sama, langkah yang diambil oleh China untuk mengetatkan sekatan pergerakan bagi membendung COVID-19 yang akan mempengaruhi permintaan eksport negara memandangkan China merupakan rakan dagangan utama Malaysia dan ketidaktentuan dasar monetari beberapa negara maju yang akan mempengaruhi aliran pasaran modal," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif pada suku pertama 2022 dengan berkembang 5% disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

Keadaan yang bertambah baik ini juga mencerminkan pemulihan pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1% berbanding 4.3% pada suku keempat 2021, di samping sokongan dasar yang berterusan.

Mustapa berkata, pertumbuhan bagi suku pertama adalah jauh lebih baik daripada jangkaan kebanyakan agensi penganalisis ekonomi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus memantapkan usahamempercepatkan pembaharuan dan transformasi struktur  ekonomi serta memantapkan kedudukan fiskal kerajaan.

"Kerajaan juga akan terus menggalakkan pelaburan swasta domestik dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan terutamanya dalam mengurangkan birokrasi dan memudahkan urusan perniagaan.

"Antara usaha lain termasuklah merancakkan aktiviti bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan negara dan memastikan kestabilan harga dan membendung kenaikan harga barangan," jelasnya. - DagangNews.com